Jojo tewas berdepan petarung Jepun

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Bintang muay thai sensasi negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar terpaksa akur apabila tewas kepada petarung Jepun, Shimon Yoshinari menerusi keputusan juri dalam aksi ONE Samurai 1 di Ariake Arena sebentar tadi.

Pada pertarungan yang berlangsung penuh sengit itu, Johan atau terkenal dengan panggilan Jojo itu turun dengan semangat juang tinggi meskipun dijangka berdepan tentang sengit dari lawan yang lebih berpengalaman di hadapan penyokong tuan rumah.

Petarung muda berusia 19 tahun itu dilihat tidak gentar melayan asakan Yoshinari sejak pusingan pertama dengan beberapa kombinasi tumbukan dan tendangan berjaya mengenai sasaran.

Jojo berjaya melepaskan tumbukan tepat ke arah bahagian muka petarung Jepun hingga terjauh pada pusingan dua sekali gus menjadikan petarungan tersebut semakin rancak apabila kedua-dua bintang ONE Championship itu saling berbalas serangan dalam usaha memburu mata kemenangan.

Namun, pengalaman luas dimiliki petarung Jepun tersebut nyata memberi kelebihan apabila Yoshinari berjaya mengawal tempo pertarungan selain turut menjatuhkan Jojo.

Jojo tetap berusaha bangkit pada pusingan terakhir dengan beberapa serangan agresif namun, Yoshinari berjaya mempertahankan kelebihan apabila melakukan serangan agresif di pusingan ketiga.

Keputusan akhirnya memihak kepada Yoshinari sekali gus menghadiahkan kekalahan tipis buat Jojo dalam pertarungan yang cukup mendebarkan itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas semua sokongan yang diberikan. Terima kasih juga kepada semua pihak dalam ONE Championship kerana menganjurkan pertarungan ini.

“Terima kasih kepada semua penyokong yang hadir dan memberikan sokongan kepada saya. Perjalanan ini masih panjang dan saya akan terus bekerja keras untuk menjadi juara ONE suatu hari nanti,” kata Yoshinari dalam satu kenyataan. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |