Wanita campak bayi dari tingkat 38 dipenjara dua tahun 

1 hour ago 2

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap seorang wanita yang mencampakkan bayi yang baru dilahirkan dari tingkat 38 sebuah kondominium tahun lalu.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Lua Mei Zhu, 24, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan setelah representasi yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) diterima pasukan pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman ke atas tertuduh yang bekerja di pusat panggilan itu berjalan bermula dari tarikh tangkapan pada 27 Februari 2025.

Pada Ogos 2025, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Selepas representasi diterima, AGC menawarkan pertuduhan di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kematian bayi baru lahir ketika fikirannya terganggu kesan kelahiran tersebut.

Kesalahan dilakukan antara pukul 1.30 tengah hari dan 9 malam di tingkat sembilan sebuah kondominium di Sentul pada 26 Februari 2025.

Terdahulu, Kok Mun memohon mahkamah agar tidak menjatuhkan hukuman penjara kerana Mei Zhu direman selama setahun dua bulan dan mahu kembali kepada keluarga untuk memulakan hidup baharu.

Katanya, anak guamnya kesal dan menyedari kesilapan tersebut serta menjelaskan kejadian itu berlaku akibat ketidakmatangannya dalam mengendalikan keadaan.

“Selepas berpisah dengan teman lelaki yang berlainan bangsa dan agama, dia mengalami kemurungan berpanjangan. Dia mengesyaki dirinya hamil luar nikah pada trimester terakhir, namun tidak mendapatkan pemeriksaan kerana takut akan stigma masyarakat dan kerana berasal daripada keluarga yang konservatif.

“Dia berada dalam tekanan emosi. Dia takut untuk memaklumkan kepada keluarganya kerana bimbang akan rasa malu memandangkan bapa bayi tersebut berlainan bangsa dan agama.

“Dia berasa pening, keliru dan panik dengan apa yang berlaku di depan mata. Dia mengambil bayi yang baru dilahirkan bersama uri dan mencampakkannya keluar dari tingkap tandas,” katanya.

Beliau berkata, kelahiran bayi itu memberi kesan terhadap kesihatan mental anak guamnya dan penilaian psikiatri selama tiga bulan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak mendapati Mei Zhu mengalami kemurungan dan sedang menjalani rawatan dengan pengambilan ubat.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan mencadangkan hukuman berat ke atas tertuduh demi keadilan bayi yang tidak berdosa.

Jelasnya, wanita itu boleh memilih untuk menyerahkan bayi tersebut untuk dijadikan anak angkat, tetapi sebaliknya memilih bertindak dengan cara berbeza.

“Nyawa telah terkorban. Seorang bayi yang tidak berdosa, tidak sempat pun hidup selama tiga minit selepas dilahirkan telah dicampakkan dari tempat tinggi.

“Ketika itu, terdapat ahli keluarga lain di rumah. Tertuduh sepatutnya boleh bertindak dengan cara berbeza, namun malangnya dia memilih jalan yang tragis itu,” katanya.

Mengikut fakta kes, pihak polis menerima laporan mengenai penemuan bayi dalam keadaan kepala pecah di beranda sebuah rumah di tingkat sembilan kondominium tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |