SEPANG – Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak asuhannya berusia lima bulan sehingga menyebabkan kematian.
Tertuduh, Farisha Azniha Mohd. Sobri, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap bayi lelaki berusia lima bulan di sebuah rumah di Kampung Sungai Merab Luar, Sepang pada 12 Februari lalu.
Kes didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah juga boleh memerintahkan menyempurnakan bon dengan penjamin bagi berkelakuan baik dalam tempoh dan syarat yang difikirkan baik oleh mahkamah, dan menjalani khidmat masyarakat.
Ahmad Fuad menetapkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri sekali setiap awal bulan di balai polis berhampiran.
Selain itu, Ahmad Fuad turut menetapkan 21 Mei depan bagi Kes sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Saifuddin Rafiee mencadangkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Sebelum itu, peguam tertuduh, Rohan Singh memohon agar wang jaminan dikurangkan kerana tertuduh hanya bekerja sebagai pengasuh sambilan dengan pendapatan RM400 sebulan
Katanya, tertuduh juga mempunyai dua anak berusia dua dan empat tahun selain perlu menjaga ibu dan ayah yang sudah tua.
“Selain itu, tertuduh memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan dan hadir ke mahkamah hari ini atas jaminan sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
3









![[KEMAS KINI] Lek Khang kritikal, kini sedang jalani pembedahan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/KWEE-KWANG-ketika-ditemui-pemberita-di-Jabatan-Kecemasan-dan-Trauma-di-Hospital-Sultan-Ismail-Johor-Bahru-hari-ini..jpeg)





































