ISLAMABAD – Polis Pakistan hari ini menahan suspek utama dalam kes pembunuhan bintang TikTok berusia 17 tahun, Sana Yousaf.
Menurut polis, mangsa ditembak mati selepas berulang kali menolak permintaan suspek untuk ‘berkawan’.
Sana yang mempunyai lebih 830,000 pengikut dan merekodkan lebih 29 juta ‘like’ di platform perkongsian video TikTok, ditembak mati di rumahnya di kawasan G-13, Islamabad semalam.
Polis berkata, individu tidak dikenali menembak Sana dua kali di dada dengan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayatnya dibawa ke hospital Pakistan Institute of Medical Sciences (PIMS), Islamabad untuk bedah siasat.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV), yang mula-mula dikongsi di saluran berita swasta dan kemudian oleh televisyen milik kerajaan, Pakistan Television (PTV), menunjukkan seorang pemuda berjalan laju dari rumah Sana pada waktu siang.
Ketua Polis Islamabad, Syed Ali Nasir Rizvi berkata, suspek merupakan seorang pelajar peringkat matrikulasi dan anak seorang pegawai kerajaan yang bersara
Dia ditahan di Faisalabad.
Menurutnya, suspek tidak mempunyai sumber pendapatan dan hanya mempromosikan kandungan di Instagram serta platform media sosial lain.
“Sebelum membincangkan motif, saya ingin jelaskan polis sudah menahan suspek dan merampas senjata yang digunakan,” kata Syed Ali dalam satu sidang akhbar.
Beliau berkata, polis turut merampas iPhone milik Sana daripada suspek. Telefon bimbit itu dicuri untuk menghapuskan bukti jenayah.
“Buat masa sekarang, ini adalah kes penolakan berulang kali,” katanya sambil menambah, suspek cuba menghubungi Sana melalui media sosial sebelum ini, tetapi mangsa menolak tawaran untuk ‘berkawan’ daripada suspek.
Suspek dikatakan cuba menemui Sana dan menunggu selama lapan hingga sembilan jam di luar kediamannya di Islamabad pada 29 Mei lalu tetapi gagal.
Semalam, dia menunggu di rumah mangsa selama lapan hingga 10 jam, namun masih tidak berjaya bertemu.
“Akhirnya, dia menceroboh masuk ke dalam rumah Sana dengan membawa senjata api , lalu membunuhnya,” kata pegawai Polis Islamabad itu.
Lebih 54 juta pengguna di Pakistan menggunakan TikTok, walaupun kerajaan negara itu pernah menyekat aplikasi tersebut sebanyak empat kali kerana bimbang tentang kandungannya. – AGENSI