Berat sungguh ujian kami – Ibu Muhammad Danish

3 weeks ago 12

KUALA LANGAT – Ibu remaja Muhammad Danish Shamsul Sharizan, 16, yang maut dalam kemalangan di Jalan Sultan Suleiman Shah, Kampung Chodoi, Banting di sini hari ini disifatkan anak harapan kepada keluarganya.

Roszainida Hassan, Ibu Roszainida Hassan, 40, berkata, ini berikutan anak sulung daripada lima beradik mengambil alih tugas ‘ketua keluarga’ selepas suaminya, Shamsul Sharizan Salam, 43, yang kini terlantar di rumah akibat masalah kesihatan.

Katanya, sebelum kejadian arwah ada memaklumkan ingin keluar membaiki motosikal di sebuah bengkel dalam kira-kira pukul 10 malam.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa dengan dan dia memandu kereta suami. Saya sempat berpesan supaya berhati-hati.

“Namun, tidak sangka terjadi kemalangan dengan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Banting di sini hari ini.

Menurutnya, Allahyarham merupakan seorang bertanggungjawab dengan melakukan pelbagai kerja dalam membantu kewangan keluarga.

Ujarnya, ini termasuk bagi menampung perbelanjaan adik perempuannya berusia 14 tahun yang menghidap barah rahim.

“Saya hanya bekerja mengambil dan menghantar budak-budak sekolah dengan pendapatan RM2,000 sebulan dan perlu menghantar anak kedua berulang-alik ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk rawatannya.

“Arwah yang banyak bantu membayar pinjaman rumah, beli barang, memasak dan menguruskan anak-anak. Dia tulang belakang kami. Kehilangannya memang terasa dan berat sungguh ujian kami,” ujarnya.

Jelasnya, ekoran sikap ketanggungjawaban arwah yang tinggi menyebabkan dia kadangkala terpaksa berponteng dan melakukan kerja-kerja membaiki motosikal bagi membantu kehidupan kami.

Sementara itu, Nururrarizikiah Jantan, 47, memaklumkan tragedi itu benar-benar memilukan hatinya susulan kehilangan anak ketiganya, Hariz Nazri, 19,.

Seorang lagi anaknya iaitu Danish Haikal Nazri, 17, sedang bertarung nyawa dirawat di Zon Merah Hospital Banting.

“Arwah Hariz baharu sahaja pulang dari bekerja sebagai mekanik di bengkel berhampiran rumah di Batu Kebun 9, Telok Panglima Garang.

“Saya ingat Hariz dan Danish Haikal keluar dekat-dekat sahaja bersama rakan-rakan yang lain. Saya kena kuat semangat dan berharap seorang lagi anak saya selamat,” katanya.

Tambahnya, dia terpaksa mengesahkan identiti Danish Haikal selepas doktor menunjukkan kad pengenalan anaknya.

“Doktor merawat memaklumkan kedua-dua kaki dan tangan kirinya patah. Manakala terdapat kecederaan pada otaknya dan terpaksa ditidurkan ketika ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |