Beras tempatan kurang laku, perlu bersaing dengan beras import

20 hours ago 4

KOTA BHARU – Perbezaan harga yang tidak ketara antara beras import dan beras tempatan dilihat menjadi faktor masyarakat lebih memilih untuk membeli beras import berbanding beras dari negara ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan itu menyebabkan penjualan beras tempatan perlu bersaing dengan beras import yang berada di pasaran.

Menurutnya, sekampit beras putih tempatan bersubsidi seberat 10 kilogram dijual pada harga RM26 dan penjualannya dilihat kurang laku berbanding beras import.

“Beras tempatan perlu bersaing dengan beras import. Sebelum ini, masyarakat mahu beras tempatan, tetapi apabila harganya tidak jauh daripada beras import, beras tempatan pula ditinggalkan.

“Kita sedang membuat kajian mendalam mengenai perkara itu kerana mendapati jualan beras tempatan pada harga RM26 sekampit kurang laku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Bank Bergerak dan Kampung Angkat Madani di Kampung Pantai Mek Mas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, sehubungan itu, kerajaan akan terus melaksanakan kempen agar masyarakat terus membeli beras tempatan.

Berdasarkan rekod, sekampit beras putih tempatan bersubsidi seberat 10 kilogram dijual pada harga RM26 manakala beras import pula dalam lingkungan RM32.90 hingga RM34.50 bagi kuantiti yang sama.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, harga telur masih terkawal selepas penamatan subsidi telur bermula awal bulan lalu.

Menurutnya, hal ehwal subsidi telur dan ayam ketika ini semakin reda, namun masalah beras pula timbul apabila perbezaan tidak ketara antara harga beras tempatan dan import.

“Hal makanan kita tidak boleh bercakap besar dan takbur. Saya tidak boleh kata semuanya selesai. Kita boleh cakap reda dan lega. Saya harap keadaan (penamatan subsidi ayam dan telur) dapat dikekalkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |