‘Barbarik ada lagu baharu, nyanyi lagu Wings pun tiada masalah’

21 hours ago 8

BARU memasuki tahun ketiga penubuhan, namun pencapaian band rock Barbarik sebenarnya sudah mengatasi banyak hal. Menariknya, mereka bakal sekali lagi menganjurkan sebuah konsert, kali ini dengan judul Pentas Peluru Cokelat di Zepp Kuala Lumpur pada 28 Jun ini.

Dalam konsert kelima tersebut, Barbarik yang dianggotai legenda rock, Muss, JoBranko, Rozaimi dan Ainol buat julung kalinya akan mendendangkan karya terbaharu daripada album sulung mereka Peluru Cokelat yang telah diterbitkan pada November tahun lalu.

Namun, tidak sah jika persembahan Barbarik tidak disertakan lagu-lagu berhantu daripada kumpulan Wings yang merupakan kumpulan terdahulu JoBranko dan Muss.

JoBranko atau nama lengkapnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 56, menegaskan tidak menjadi satu kesalahan untuknya mendendangkan lagu daripada kumpulan lain dalam konsert Barbarik.

“Sebenarnya, kami boleh menyanyikan lagu sesiapa sahaja, sebab ada antara lagu yang saya hasilkan (semasa bersama Wings), jadi tiada masalah. Tetapi, menerusi konsert ini, kami mahu hasilkan muzik lebih segar berbanding sebelum ini.

“Album Peluru Cokelat pun baru ada enam lagu baharu, namun ada peminat mahu dengar lagu bersama band sebelum ini, jadi kami beri sedikit apa yang mereka mahu dengar.

“Saya faham masih ada peminat yang masih belum biasa dengan muzik Barbarik dan lebih suka lagu-lagu lama,” katanya semasa ditemui pada sidang media Konsert Barbarik: Pentas Peluru Cokelat ibu negara baru-baru ini.

Kejutan

Dalam pada itu, gitaris terkenal itu memaklumkan konsert kali ini menjanjikan pengalaman penuh debaran, cukup untuk untuk membuat penonton terpaku.

“Sebelum ini, kami mendendangkan lagu-lagu ketika Muss bersama Wings sebelum ini, tetapi kali ini, ada buah tangan baharu yang menampilkan identiti Barbarik itu sendiri.

“Kami letakkan elemen kejutan pada pembukaan, pertengahan dan penutup persembahan supaya ada kelainan daripada konsert yang lain.

“Kami memberi jaminan kepada peminat, konsert ini bakal menguji andrenalin secara total dari mula hingga akhir,” katanya.

Mendendangkan kira-kira 20 buah lagu termasuk dari era 1980-an dan 1990-an, persembahan yang bakal memberi kejutan adalah segmen ‘Retro Akustika’ yang menampilkan lagu-lagu malar segar bersama barisan gitaris terkenal iaitu Shah Slam, Ujang Tukimon, Muzza dan Karl Cromok, sambil diiringi lapan pemuzik ‘string octet’.

“Saya sendiri teruja dengan segmen Retro Akustika kerana mengembalikan nostalgia dahulu selain, dapat berkongsi pentas bersama rakan-rakan gitaris yang lain,” ujar JoBranko.

Konsert Pentas Peluru Cokelat dibawakan oleh Karri Talk Production dengan penganjur bersama Pentas Barbarik Sdn Bhd.

Bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket berharga RM150, RM280, RM380 dan RM8,000, boleh layari laman web, ilassotickets.com.

Read Entire Article
Pertanian | | | |