EPL: Amorim enggan tukar falsafah

2 hours ago 4

MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim memberi gambaran bahawa beliau tidak akan mengubah gaya permainan yang diterapkan untuk pasukan itu ketika ini biarpun terpaksa menanggung kekalahan 0-3 pada aksi derbi menentang Manchester City awal pagi semalam.

Menurutnya, jika ada pihak yang berminat untuk melihat United beraksi dengan cara yang berbeza, mereka perlu memastikan beliau meninggalkan Old Trafford sekali gus membuktikan Amorim masih percaya dengan formasi 3-4-3 yang digunakan ketika ini.

Kekalahan berkenaan menyaksikan United sekadar meraih empat mata dalam empat perlawanan awal musim untuk menghuni tangga ke-17 Liga Perdana Inggeris selain ia juga menjadi rekod permulaan musim terburuk pasukan itu sejak kempen 1992/93.

Amorim mengambil alih tugas sebagai pengendali United pada November tahun lalu dan hanya meraih lapan kemenangan dalam 31 perlawanan yang diharungi sekali gus menimbulkan keraguan mengenai masa depannya bersama kelab itu.

“Saya faham dan menerimanya. Ini bukanlah rekod yang anda perlukan di Manchester United, tetapi saya tidak akan menukarnya. Saya akan menukar falsafah saya apabila saya mahu menukarnya. Jika tidak, saya perlu menukar pemain.

“Kita boleh bercakap perkara ini setiap kali kami berdepan kekalahan. Saya tidak percaya mengenainya. Saya percaya dengan cara saya dan akan terus menggunakan cara ini sehingga saya mahu ia berubah.

“Saya sentiasa berikan semua yang saya ada. Saya akan melakukan segala-galanya yang difikirkan baik untuk kelab ini. Keputusan untuk United menukar pengurus bukan di bawah kawalan saya. Selagi saya di sini, ini adalah cara saya,” katanya.

Biarpun terpaksa pulang dengan kekalahan tersebut, Amorim percaya bahawa pasukannya sudah menunjukkan peningkatan ketara berbanding musim lalu biarpun hanya berjaya meledak satu gol dalam permainan terbuka untuk tempoh enam jam aksi EPL.

“Kami melakukannya dengan lebih baik, tetapi keputusan menunjukkan sebaliknya. Ada beberapa ketika kami kurang baik berbanding City dan saya memahaminya. Jika melihat jaringan pertama yang mereka peroleh, ia sepatutnya boleh dielak,” jelasnya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |