PETALING JAYA – Bank Rakyat menawarkan bantuan penangguhan bayaran ansuran pembiayaan sehingga enam bulan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir dan kejadian tanah runtuh di beberapa daerah di Sabah baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff dalam satu kenyataan berkata, kemudahan moratorium itu bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan dan komitmen yang ditanggung oleh pelanggan dalam waktu yang mencabar ini.
“Kemudahan moratorium yang ditawarkan ini merangkumi produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaani, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i, Pajak Gadai-i serta Kad Kredit-i.
“Bank Rakyat berharap agar kemudahan ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas yang mana langkah proaktif ini juga amat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Shahril berkata, pelanggan yang terjejas boleh memohon menerusi e-mel [email protected] dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.
“Manakala bagi pelanggan Kad Kredit-i boleh menghantar permohonan ke e-mel [email protected]. Pelanggan perniagaan juga boleh terus mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran bagi mendapatkan bantuan.
“Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Panggilan di talian 1 300 800 800 dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB) yang berdekatan serta mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE