Ballard harap Azeem ke NCAA

1 week ago 14

PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi sekali lagi mencipta kejutan apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 60 meter (m) buat kali kedua dalam tempoh kurang sebulan.

Pada aksi final Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC di Bryan-College Station, Texas, awal pagi semalam, Azeem yang mewakili Universiti Auburn berjaya mencatat masa 6.56 saat (s).

Catatan terbaik tersebut sekali gus membolehkan pelari berusia 21 tahun itu memperbaharui rekod kebangsaan 6.60s miliknya sendiri yang dilakukan pada 14 Februari lalu di Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Universiti Clemson, Amerika Syarikat (AS).

Hasil keputusan tersebut menyaksikan Azeem meraih pingat gangsa apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang juara dari Arkansas, Jordan Anthony (6.54s) dan rakan sepasukannya di Auburn, Israel Okon (6.55s) di tempat kedua.

Lebih menarik, kejayaan tersebut turut membuka peluang buat Azeem untuk bersaing pada Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) yang akan diadakan pada 14 Mac depan di Virginia, Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, penyertaan Azeem masih bergantung kepada kedudukannya dalam senarai 16 terbaik NCAA, yang dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.

Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard
berharap Azeem berjaya melayakkan diri ke Kejohanan NCAA kerana ia akan menjadi platform penting dalam perkembangan kariernya.

“Sekali lagi, ini adalah satu perkembangan yang sangat baik untuk Azeem apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 60m sebanyak dua kali.

“Kini, kami sedang menunggu pengesahan sama ada Azeem berjaya berada dalam kelompok 16 terbaik NCAA untuk layak ke Kejohanan NCAA pada 14 dan 15 Mac ini. Hanya tinggal dua minggu sahaja lagi,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |