PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa aspek pertahanan negara merupakan satu amanah besar dalam menjaga maruah negara, memelihara Selat Melaka dan Laut China Selatan, selain memastikan keamanan rantau terus terpelihara bersama negara-negara sahabat.
Menurut beliau, keamanan tidak hadir secara percuma, sebaliknya ditegakkan hasil pengorbanan para perwira serta disiplin teguh anggota pertahanan negara.
“Bersempena bulan kemerdekaan ini, kita terus-terusan diperingatkan bahawa keamanan tidak hadir dengan sendirinya.
“Malah, ia ditegakkan dengan pengorbanan para perwira dan perajurit bangsa, dengan disiplin yang teguh, dan dengan kepemimpinan yang menolak segala bentuk penyimpangan mahupun yang diam terhadap kecurangan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Anwar dilaporkan hadir merasmikan Program Madani Rakyat 2025 Negeri Sembilan di Dataran Nilai sebelum meneruskan lawatan ke kilang kenderaan perisai Mildef International Technologies di Sendayan, yang disifatkannya sebagai mercu tanda baharu industri pertahanan negara.
“Ia antaranya menjadi lambang inovasi dan kepakaran temparan, selain menjadi simbol kedaulatan yang mengakar pada maruah bangsa.
“Malaysia tidak seharusnya secara berterusan bergantung pada perolehan dari luar, tetapi sebaliknya mesti membina kekuatan dalam negeri dengan prinsip tatakelola yang telus, kecanggihan teknologi dan penyelidikan yang berpaksi pada kekuatan jati diri bangsa,” katanya.
Anwar berkata, pembangunan industri pertahanan bukan sahaja melibatkan aspek keselamatan, malah harus memberi limpahan manfaat kepada rakyat.
“Justeru, saya tekankan bahawa kekuatan industri pertahanan tempatan harus berpadu dengan kesejahteraan rakyat.
“Bila bumbung ekonomi negara makin tinggi, lantainya juga mesti terangkat supaya pekerja dan keluarga turut menikmati hasilnya. Ini semangat yang madani, yakni pertahanan yang kukuh, ekonomi yang makmur, rakyat yang sejahtera, dan negara yang terus dihormati dunia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE