Anthony Loke umum letak jawatan

12 hours ago 7

PETALING JAYA – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, perletakan jawatan itu hanya membabitkan beliau dan tidak melibatkan ahli DAP lain.

“Namun, perletakan jawatan ini hanya membabitkan saya sebagai anggota Jemaah Menteri.

“Ahli-ahli Jemaah Menteri yang lain yang mewakili DAP termasuk menteri dan timbalan menteri serta jawatan-jawatan lain kekal berada dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di ibu negara hari ini.

Tindakan beliau itu susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anthony menambah, beliau memerlukan sedikit masa sebelum mengemukakan surat kepada Anwar disebabkan perlu menyelesaikan beberapa urusan kementerian.

“Saya memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan beberapa urusan tertunggak kementerian.

“Operasi Kementerian Pengangkutan akan berjalan seperti biasa kerana perancangan dan projek yang telah dilaksanakan akan diteruskan walaupun berlaku pertukaran menteri,” katanya.

Semalam, Najib mendapat pengampunan bersyarat dengan beliau perlu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya membayar denda RM50 juta.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, DAP bagaimanapun menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, namun parti mempunyai pendirian berhubung keputusan tersebut yang sukar diterima.

Katanya, DAP sejak awal memperjuangkan keadilan dan pertanggungjawaban berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta mahu pihak bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |