MARANELLO – Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton menyangkal sekeras-kerasnya laporan media Itali yang mendakwa dia mendesak prinsipal pasukan Ferrari, Fred Vasseur untuk merombak barisan kakitangan operasi pasukannya.
Sebelum ini, akhbar terkemuka Itali, Corriere della Sera melaporkan wujud bibit ketegangan antara pelumba veteran itu dengan pihak pengurusan susulan rentetan prestasi hambar, selain mendakwa Hamilton menuntut pertukaran beberapa anggota staf teknikal.
Bagaimanapun, pelumba berusia 41 tahun itu menjernihkan keadaan menerusi satu kenyataan di akaun media sosial miliknya bagi menamatkan spekulasi liar tersebut.
“Saya ada melihat beberapa laporan yang tersebar dan saya mahu menjelaskannya di sini. Saya tidak pernah meminta sesiapa pun dalam pasukan saya untuk digantikan,” tegas Hamilton menerusi hantaran di Instagram Story.
Walaupun tidak mengulas secara langsung mengenai khabar angin hubungannya yang
dikatakan semakin dingin dengan Vasseur, bintang kelahiran Britain itu menegaskan dia sentiasa berdiri teguh di belakang pasukannya.
“Semua individu yang bekerja bersama saya sentiasa berhempas-pulas setiap hari, dan dedikasi merekalah yang memacu kami ke hadapan.
“Saya sentiasa berusaha untuk memperkasa dan menaikkan semangat orang lain agar mereka dapat memberikan potensi yang terbaik,” tambahnya.
Spekulasi mengenai ketegangan dalaman itu timbul susulan kegagalan pertama Hamilton menamatkan perlumbaan (DNF) musim ini pada Grand Prix (GP) Sepanyol di Madrid akibat masalah kegagalan sistem brek pada pusingan ketujuh.
Insiden tersebut memberi tamparan hebat kepada peluang tipis Hamilton untuk memburu kejuaraan dunia apabila kini ketinggalan 101 mata di belakang pendahulu kejuaraan daripada pasukan Mercedes, Andrea Kimi Antonelli.
Hamilton yang kini menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan 191 mata dan mempunyai berkelebihan 24 mata di hadapan rakan sepasukan, Charles Leclerc. -AGENSI

6 hours ago
5










































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)






