‘Saya tak mahu lagi dilihat sebagai artis kontroversi’

6 hours ago 5

SEDEKAD perjalanan penyanyi Ismail Izzani dalam industri seni hakikatnya tiada permaidani merah yang terbentang istimewa buat dirinya.

Pernah dipuja jua dicerca, malah menjadi sasaran kontroversi ketika usia masih mentah, namun segala hiruk-pikuk yang tercetus akhirnya menjadi warna dalam kanvas perjalanan anak kelahiran Ampang itu.

Jauh daripada mahu memadam sejarah atau berpura-pura menjadi manusia bersih tanpa cela, pemilik nama sebenar Ismail Izzani Zainal Nazeri itu mengakui setiap fasa pernah dilaluinya mempunyai peranan tersendiri dalam membentuk siapa dirinya hari ini.

Bahkan tanpa disedari, lagu-lagu lama serta karakter pada zaman awal pembabitannya menjadi tali hayat paling ampuh untuk terus menambat perhatian peminat ketika industri dibanjiri wajah baharu.

Dia percaya muzik dan karya terdahulu banyak membantu namanya terus berada di permukaan, sementara segala kontroversi pula menjadi asas berharga untuk membina versi diri lebih baik.

Sentiasa relevan

“Saya rasa perkara paling menyelamatkan Ismail Izzani ialah versi saya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Semua lagu, persembahan dan pengalaman saya ketika itu banyak membantu.

“Saya ada lebih tiga lagu hits yang peminat boleh ‘sing along’. Tidak ramai penyanyi baharu ketika itu memiliki lebih tiga lagu popular pada satu-satu masa. Selain saya, ada Haqiem Rusli dan Naim Daniel. Kami mendominasi carta muzik waktu itu.

“Fasa itulah banyak membantu saya sampai berada di tahap sekarang. Pengalaman tersebut membuatkan saya terfikir untuk membina diri secara berbeza dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya kepada HibGlam.

Tambah jejaka berusia 26 tahun itu, kontroversi mungkin tidak dapat dielakkan dalam dunia hiburan, namun dia enggan perkara tersebut menjadi gambaran utama khalayak terhadap siapa dirinya.

“Selagi saya boleh dan mampu, saya mahu berada dalam industri dengan cara betul. Saya tak mahu lagi orang melihat Ismail Izzani sebagai artis kontroversi.

“Kontroversi akan ada di mana-mana, tetapi saya tidak mahu orang membayangkan saya sebagai artis bermasalah. Sebagai manusia, kita semua melalui fasa dan masalah masing-masing.

“Selagi saya mampu menunjukkan diri sebagai seseorang yang layak berada dalam industri ini, saya akan terus berusaha,” ujarnya.

Tidak munafik

Menjadi diri sendiri sejak awal pembabitan dalam industri membawa dua sisi berbeza, ada manfaat kerana peminat dapat menyaksikan perjalanan hidupnya secara dekat, namun terdapat harga perlu dibayar apabila kesilapan lama terus menjadi bahan ingatan.

Meskipun dicop dengan pelbagai label tidak baik, anak kepada penyanyi era 1980-an, Datin Suliza Salam itu memilih untuk tidak membina watak palsu semata-mata mahu kelihatan sempurna.

“Saya sentiasa jujur sejak hari pertama. Kalau melakukan kesilapan, saya akui, kemudian saya teruskan kehidupan. Orang mahu berkata apa sahaja, silakan. Sekurang-kurangnya saya tidak munafik.

“Bagi saya, tiada gunanya menjadi orang lain, apatah lagi terlalu jauh daripada diri sendiri. Mungkin ada baik dan buruknya apabila saya menjadi diri sendiri sejak awal.

“Setidaknya, peminat dapat mengikuti perjalanan saya ketika tersesat, ketika membina diri semula dan ketika saya berada di tahap sekarang.

Mungkin sebab itu ada pendengar berasa dekat kerana mereka mengenali saya sebagai manusia bukan artis semata-mata,” jelasnya.

Baginya, apa sudah berlaku tidak mungkin dipadam, sebaliknya perubahan hanya mampu dilakukan menerusi pilihan serta arah kehidupan pada masa hadapan.

“Perkara tujuh tahun lalu (gosip) masih ada hingga hari ini, saya tidak mampu mengubah perkara sudah berlaku. Apa saya boleh lakukan hanyalah mengubah diri, kedudukan dan hala tuju saya untuk masa depan.

“Saya tidak pernah menceritakan masalah keluarga dalam Threads, TikTok atau mana-mana platform untuk tatapan umum. Bagi saya, semuanya kembali kepada keputusan sendiri.

“Apa sahaja keputusan dibuat akan menunjukkan siapa diri kita pada masa depan. Itulah perkara kecil saya pelajari sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini dan saya benar-benar cuba mengamalkannya,” luahnya.

Enggan dibandingkan

Beralih kepada soal industri, nama Ismail turut sering dijadikan kayu ukur apabila membicarakan penyanyi lelaki yang mampu menggabungkan nyanyian dan tarian tanpa kelihatan janggal di atas pentas.

Tidak kurang ada membandingkan gayanya dengan kumpulan lelaki, Alpha, terutama apabila elemen persembahan bertenaga mula menjadi perhatian generasi muda.

Bagaimanapun, si lincah itu enggan terperangkap dalam perlumbaan perbandingan dengan generasi baharu. Dia sebaliknya melihat Alpha masih mempunyai ruang luas untuk berkembang dan memerlukan masa bagi membina identiti sendiri.

“Ada pihak membandingkan saya dengan kumpulan Alpha, secara jujur, saya rasa Alpha sedang melakukan sesuatu dengan sangat baik.

“Saya fikir mereka cuma perlukan masa kerana membina keserasian sebagai kumpulan lelaki bukan perkara mudah. Apa mereka lalui sekarang juga bukan mudah, apatah lagi semua mata tertumpu kepada mereka.

“Dengan media sosial hari ini, keadaan jauh berbeza berbanding zaman saya. Apa sahaja boleh sampai ke hujung jari dan banyak perkara boleh tersebar dengan pantas.

“Mungkin ada persamaan antara fasa saya dahulu dengan apa mereka lalui sekarang, tetapi skala perhatian terhadap mereka jauh lebih besar,” ungkapnya.

Ismail mengakui masih dalam proses mencari kekuatan serta identiti paling kukuh sebagai seorang penghibur.

“Sejak dahulu, apabila saya mula menari, ada beberapa penyanyi lain turut melakukan perkara sama.

“Namun, ada antara mereka akhirnya kembali kepada genre masing-masing, sedangkan saya terus melakukannya.

“Sebabnya mudah, saya menjadi diri sendiri. Muzik saya memang dekat dengan tarian.

“Apabila berubah menjadi kerjaya, saya cuba menghadiri kelas beberapa kali dan melakukan usaha diperlukan untuk menjadi lebih baik.

“Jadi, lebih baik kita tidak membandingkan, sebaliknya menghargai apa mereka cuba sampaikan dan cara mereka mahu membawa karya kepada penonton,” tutupnya.

Dalam perkembangan lain, Ismail sedang hangat mempromosikan single terbaharunya berjudul One On One.

Diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, lagu ciptaan dan terbitan ALYPH itu menjadi pembuka jalan kepada album penuh Ismail yang dijadualkan dilancarkan tahun ini.

Read Entire Article
Pertanian | | | |