Tragedi Tahfiz DQI 2017: Waris gesa siasatan dibuka semula

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Waris mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) pada 14 September 2017 menggesa pihak berkuasa membuka semula kertas siasatan berhubung kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang dan peraturan keselamatan bangunan yang didakwa menyumbang kepada kejadian itu.

Gesaan berkenaan dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Februari lalu dalam tuntutan sivil berkaitan kecuaian dan kegagalan pihak terbabit dalam pengurusan serta pemilikan bangunan berkenaan.

Peguam yang mewakili keluarga mangsa, Muhammad Asif Zahari berkata, waris dan mangsa yang cedera membuat laporan polis lanjutan bagi meminta siasatan lanjut berdasarkan dapatan mahkamah.

Menurutnya, laporan itu bukan laporan polis pertama dibuat keluarga mangsa, sebaliknya susulan kepada laporan terdahulu sejak 2017.

“Laporan polis sebenarnya telah dibuat sejak daripada tahun 2017 lagi, selepas itu, laporan susulan juga telah dibuat.

“Namun, laporan kali ini dibuat berikutan dapatan Mahkamah Tinggi selepas keputusan pada 10 Februari 2026, yang menyatakan beberapa fakta penting untuk pihak polis dan pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Asif berkata, antara perkara yang diminta disiasat ialah kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang berkaitan pengubahsuaian bangunan dan aspek keselamatan.

“Antaranya melibatkan pengubahsuaian bangunan, keperluan mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan serta pematuhan terhadap aspek keselamatan premis juga berkenaan keselamatan kebakaran.

“Berdasarkan dapatan-dapatan ini, fakta yang telah mahkamah sahkan melalui keterangan saksi, kita percaya pihak polis boleh mengambil siasatan lanjut dan tindakan terhadap pihak-pihak berkenaan,” katanya.

Tragedi kebakaran DQI pada pagi 14 September 2017 mengorbankan 23 nyawa terdiri daripada 21 pelajar dan dua guru, selain menyebabkan beberapa pelajar lain cedera. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |