PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan berhubung sebuah video pementasan yang didakwa mengandungi kandungan menyentuh institusi Raja, Malaysia serta Rukun Negara.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menerima aduan berhubung video berkenaan yang kini tersebar di beberapa platform media sosial.
Menurutnya, semakan awal mendapati rakaman tersebut berasal daripada sebuah pementasan yang berlangsung pada 2018 sebelum kembali disebarkan di media sosial, baru-baru ini.
“MCMC telah mengenal pasti beberapa akaun media sosial dan individu berkaitan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, MCMC turut bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan siasatan termasuk berkaitan bukti digital.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan mengenai individu yang dikaitkan dengan video tersebut bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses siasatan,” katanya.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang sebelum ini meminta PDRM serta MCMC menjalankan siasatan segera serta menyeluruh berhubung sebuah pementasan teater terbabit.
Aaron berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil jika terdapat pelanggaran undang-undang, dengan siasatan hendaklah mempertimbangkan segala peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan berkaitan, termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 serta mana-mana undang-undang lain.
“Rukun Negara bukan sekadar lafaz yang dibaca dalam majlis rasmi. Rukun Negara ialah ideologi dan falsafah kebangsaan serta panduan dalam pembinaan sebuah negara yang bersatu padu.
“Perkara itu telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 dengan matlamat utama membentuk perpaduan kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook, malam tadi.
Terdahulu, tular rakaman klip pementasan teater yang dimuat naik pengguna Instagram, The Fever Kinetic Theatre didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, Malaysia serta Rukun Negara.
Dalam rakaman tersebut, beberapa individu yang membawa pelbagai watak menerusi teater bertajuk ‘This is Malaysia’ dilihat mempersendakan situasi di Malaysia setiap kali dialog dilontarkan. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
5










































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)






