PETALING JAYA – Faktor risiko pekerjaan dan keperluan perlindungan tambahan antara sebab pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memilih untuk kekal dalam skim LINDUNG 24 Jam.
Berbeza dengan perlindungan bencana pekerjaan berkaitan dengan kemalangan ketika menjalankan tugas, LINDUNG 24 Jam memberi perlindungan terhadap kemalangan di luar waktu dan tempat kerja, tertakluk kepada syarat serta ketetapan skim berkenaan.
Seorang pengusaha kereta sewa, Mohamad Faizal Sutrisno, 44, berkata, sifat pekerjaannya yang banyak berada di jalan raya menyebabkan perlindungan berkenaan penting baginya.
“Saya bekerja sebagai kereta sewa. Saya bawa kereta keluar, jadi risiko saya tinggi. Sebab itu saya kena opt-in (kekal berada dalam skim).
“Bagi saya penting benda ini. Orang macam kita tak mampu nak beli insurans beratus-ratus ringgit,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Festival Mega iLINDUNGu di Strand Mall, Kota Damansara, di sini hari ini.
Mohamad Faizal berkata, penerangan yang diterima daripada pegawai PERKESO pada festival berkenaan turut membantu menjelaskan skop perlindungan yang disediakan menerusi LINDUNG 24 Jam.
Katanya, walaupun mempunyai perlindungan perubatan persendirian, beliau tetap memilih untuk menambah perlindungan menerusi skim berkenaan.
“Malang tidak berbau. Kita tidak tahu bila-bila masa kita akan kena. Jadi benda ini memang kena ada,” katanya.
Antara orang ramai yang hadir ke kaunter untuk memohon rayuan bagi penalti faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada Festival Mega iLINDUNGu di Strand Mall, Kota Damansara dekat Petaling Jaya hari ini. Foto FARIZ RUSADIO / KOSMO!Sementara itu, pegawai sumber manusia (HR), Muhammad Adib Ibrahim Fekri, 37, berkata, antara alasan yang sering diberikan pekerja untuk memilih opt-out (keluar daripada skim) ialah mereka sudah mempunyai perlindungan insurans persendirian.
Bagaimanapun, katanya, penerangan secara bersemuka dengan pegawai PERKESO memberi kefahaman lebih jelas, khususnya berkaitan proses tuntutan LINDUNG 24 Jam.
“Sebagai HR, kita kena tanya sebab nanti staf akan tanya kita. Sebelum ini, kita banyak dapat input berdasarkan laman sesawang sahaja.
“Bila ada penerangan seperti ini, kita lebih faham dan mudah untuk terangkan kepada staf kerana situasi yang berlaku kadang-kadang berbeza,” katanya.
Menurutnya, antara perkara baharu yang diperolehnya ialah tuntutan berkaitan LINDUNG 24 Jam boleh diuruskan sendiri oleh pekerja bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja, manakala pihak HR membantu mengesahkan status pekerja.
“Untuk bencana kerja memang majikan yang kena buat laporan, tetapi untuk LINDUNG 24 Jam ini staf boleh buat sendiri. HR hanya mengesahkan bahawa dia memang pekerja syarikat.
“Jadi bila balik ke pejabat nanti, saya boleh beritahu staf, kalau berlaku kemalangan mereka boleh buat sendiri dari rumah dan HR akan menerima notifikasi untuk pengesahan,” katanya.
Bagi pengurus pentadbiran, Siti Hayu Abdul Rahman, 56, pula, jumlah caruman sekitar RM42 sebulan tidak membebankan berbanding manfaat perlindungan yang diperoleh.
“Saya memang ambil insurans persendirian juga, tetapi semasa masih bekerja, saya rasa lebih baik kita ambil apa sahaja yang untuk kebaikan kita,” katanya.
Siti Hayu (tengah) hadir ke kaunter Skim LINDUNG 24 Jam bagi mendapatkan khidmat nasihat pada Festival Mega iLINDUNGu di Strand Mall, Kota Damansara dekat Petaling Jaya hari ini. Foto FARIZ RUSADIO / KOSMO!Jelasnya, perlindungan berkenaan turut meliputi kemalangan yang berlaku ketika melakukan aktiviti harian atau riadah di luar waktu pejabat, tertakluk kepada skop perlindungan yang ditetapkan.
“Saya selalu hiking (mendaki). Kalau berlaku sesuatu ketika cuti dan saya terjatuh, saya boleh dilindungi. Itu antara manfaat untuk para pencarum. Bukan hanya ketika bekerja, tetapi waktu harian, cuti umum, Sabtu dan Ahad serta di mana-mana sahaja,” katanya.
Festival Mega iLINDUNGu menjadi antara lokasi yang menyediakan kaunter khas LINDUNG 24 Jam bagi membolehkan pencarum mendapatkan penerangan mengenai skim berkenaan serta membuat proses opt-in (pendaftaran) secara terus di lokasi.
Festival Mega iLINDUNGu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 20 September, dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Selain urusan LINDUNG 24 Jam, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan PERKESO termasuk semakan perlindungan dan caruman, khidmat nasihat faedah serta saringan kesihatan percuma.
Festival Mega iLINDUNGu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 20 September.Festival itu turut menghimpunkan 11 agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), selain menyediakan lebih 2,000 kekosongan jawatan daripada 25 majikan menerusi Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs.
Pelbagai aktiviti disediakan termasuk pertandingan fesyen, mewarna kanak-kanak, sukan rakyat, pound fitness, pickleball dan program memasak.
Festival berkenaan turut menawarkan cabutan bertuah dengan tiga hadiah utama berupa motosikal selain persembahan artis tempatan serta sesi bersama selebriti dan pempengaruh, dengan menyasarkan kehadiran sehingga 60,000 pengunjung. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
3


![[VIDEO] Pasangan Diraja Thailand curi tumpuan terbangkan sendiri Boeing 737](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/thai.png)












![[VIDEO] Cahaya misteri biru ‘mendarat’ di Kuala Nerus](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/cctv-cahaya-biru.jpeg)

![[VIDEO] ‘Dia main ketuk-ketuk pintu pula…’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/tular-viral-seram-pejabat.jpeg)

























![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)





