Pemandu Mercedes-Benz tidak mengaku salah sebabkan kematian lima nyawa

2 hours ago 2

KLUANG – Pemandu Mercedes Benz yang dikaitkan dengan kemalangan maut membabitkan empat sekeluarga dan abangnya yang memandu kereta BMW sebelum ini, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.

Tertuduh, Goh Yi Zun, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman di Mahkamah Majistret Kluang di sini hari ini.

Yi Zun yang mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan didakwa memandu kereta jenis Mercedes Benz secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan tersebut kira-kira pukul 1.19 petang pada 1 Jun lalu di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak lebih RM15,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, mahkamah hendaklah memerintahkan butiran sabitan diendorskan pada lesen memandu orang yang disabitkan dan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela Mohd Daud Ismail dan Hang Li Yin yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guam mereka masih belajar.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan 20 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang pemandu Mercedes Benz dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan reman selama 10 hari bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan empat sekeluarga.

Kemalangan berkenaan turut melibatkan abang tertuduh yang ketika kejadian memandu sebuah kereta BMW.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |