SIAPA sangka, bermula secara tidak sengaja mencari rehal mengaji untuk anaknya kira-kira tiga tahun lalu menjadi titik tolak kepada Masturaedora Hamre untuk mengusahakan perniagaan berasaskan seni kraf resin epoksi.
Wanita berusia 34 tahun itu memberitahu, dia sebenarnya tiada asas dalam pembuatan seni kraf resin, namun mencuba menghasilkan rehal untuk dua anaknya apabila melihat harga rehal di pasaran ketika itu sekitar RM100 setiap item.
“Saya dahulunya bekerja sebagai jurusolek (MUA). Berbekalkan minat dalam bidang seni, saya belajar sedikit demi sedikit cara-cara membuat rehal dengan bahan resin menerusi perkongsian di TikTok dan tidak sangka hasilnya sangat cantik.
“Suami saya juga terkejut dengan hasil rehal yang saya buat dan mencadangkan untuk menjual produk ini. Saya tunjuk produk rehal kepada kawan-kawan dan ibu mentua, mereka masing-masing menyokong idea kami.
“Ibu mentua memberikan modal berniaga sebanyak RM400 dan kami juga menggadaikan gelang anak sebanyak RM2,000 untuk memulakan perniagaan ini,” ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.
Pada awalnya, Masturaedora memulakan perusahaan itu di rumah dan menjual secara online di TikTok. Namun apabila permintaan semakin bertambah, dia dan suami mengambil keputusan untuk membuka bengkel berdekatan rumahnya di Kedah agar lebih fokus menyiapkan tempahan pelanggan.
“Setelah perusahaan semakin sibuk, suami mengambil keputusan membantu saya sepenuh masa. Kami juga mengambil tiga orang pekerja bagi memenuhi permintaan yang bertambah.
“Setakat ini, kami memberikan fokus kepada empat produk iaitu rehal, mas kahwin, bingkai gambar dan jam yang masing-masing menawarkan pelbagai saiz mengikut permintaan pelanggan.
“Dalam sebulan, kami menghasilkan kira-kira 500 item untuk dijadikan sebagai hadiah dan cenderahati istimewa untuk pelbagai majlis,” ujar Pengasas Edora Exclusive itu.
Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan (Kepujian) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor itu, produk-produk yang dihasilkannya turut mendapat permintaan daripada orang Singapura dan Brunei.
“Kami juga menerima tempahan daripada golongan kenamaan dan kerabat diraja seperti Brunei, Pahang serta Johor.
“Setiap item ini kami mengambil masa minimum dua minggu untuk disiapkan dan harga bermula dari RM60 hingga RM300,” kata wanita yang berasal dari Manjung, Perak itu.
Tambahnya, bekerja dengan menggunakan bahan resin memerlukan mereka menyiapkan tugas dengan pantas kerana ia cepat membeku.
Katanya, jika terlambat, resin tidak boleh digunakan lagi.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Masturaedora berkata, dia bercadang untuk menambah ilmu dengan mengambil kursus-kursus khas berkaitan seni resin bagi memantapkan lagi kemahirannya supaya dia boleh bergelar tenaga pengajar pada masa hadapan.
“Saya sebenarnya menerima banyak permintaan daripada orang ramai agar membuka kelas. Namun buat masa ini, saya terlalu sibuk menyiapkan produk pelanggan.
“Walaupun begitu, saya ada memasang niat untuk berkongsi ilmu kepada orang ramai dengan mengadakan kelas pembuatan seni resin pada masa hadapan.
“Selain itu, saya berharap dapat mempunyai kilang sendiri pada masa hadapan supaya kami dapat mengeluarkan produk ini dalam skala lebih besar dan melebarkan lagi sayap perniagaan,” katanya.

2 hours ago
2





![[VIDEO] Cahaya misteri biru ‘mendarat’ di Kuala Nerus](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/cctv-cahaya-biru.jpeg)

![[VIDEO] ‘Dia main ketuk-ketuk pintu pula…’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/tular-viral-seram-pejabat.jpeg)



































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)





