Bot karam: Dirempuh kapal sebelum tercampak laut

2 hours ago 3

KLANG – Tragedi tujuh pemancing yang dilaporkan hilang semakin terungkai apabila bot mereka dipercayai hanyut ke laluan kapal sebelum dirempuh sehingga menyebabkan kesemua mangsa tercampak ke laut.

Perkara itu dimaklumkan Khairul Muhidin, 47, yang mengetahui kejadian berkenaan daripada isteri anak saudaranya, Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45, yang terselamat dalam insiden tragis Ahad lalu.

Khairul berkata, semasa kejadian bot dinaiki tujuh mangsa tersebut dalam perjalanan pulang ke Jeti Sementa sebelum terpaksa berlindung di sebuah rumah api di One Phatom Bank selepas mengalami kebocoran.

Kesemua mangsa kemudiannya memakai jaket keselamatan dan mengikat bot pada rumah api berkenaan, namun ombak kuat menyebabkan tali tergesel sebelum putus.

Tiga anak saudara Khairul yang berada di bot tersebut ialah Mohd. Rizal, Muhd. Hamiszar Punirain, 45, serta Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37.

“Bot kemudian hanyut hingga ke laluan kapal sebelum dilanggar dan dilanggar bot hingga bersepai dengan semua mangsa tercampak ke laut.

“Lima orang sempat berpaut bersama-sama termasuk seorang lagi sudah meninggal dunia dipercayai mengalami kecederaan di kepala,” katanya ketika ditemui di Pos Pangkalan Hadapan Jeti Sementa, Kapar di sini, hari ini.

Dua lagi iaitu Muhammad Ridzuan dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud,46, hanyut dibawa arus laut yang belum ditemui sehingga kini.

Bercerita lanjut, Khairul berkata, sepanjang tempoh tersebut tiada sebarang bot melalui kawasan berkenaan, manakala jarak antara lokasi kejadian dengan Jeti Sementa dianggarkan sejauh kira-kira 43 kilometer dengan mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan.

Tambahnya, keadaan itu menyebabkan mangsa terpaksa bertahan di laut sehingga sebuah bot nelayan tiba dan membantu mereka.

Mohd. Rizal kini dipindahkan ke sebuah hospital swasta di sini dan dilaporkan stabil, manakala seorang lagi mangsa terselamat, Muhd. Hamiszar Punirain, 45, yang juga merupakan anak saudaranya kepada Khairul kini dirawat di Hospital Banting.

Ujarnya, setakat ini kedua-dua anak suadaranya dilaporkan stabil namun dalam keadaan trauma.

“Insiden tersebut menyebabkan hamiszar mengalami luka pada leher selain masalah buah pinggang dan mempunyai masalah minor stroke,” jelasnya.

Sementara itu, Khairul berkata, keluarganya masih menaruh harapan Muhammad Ridzuan yang juga kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditemukan dalam selamat.

Ujarnya, Muhammad Ridzuan merupakan kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB), masih bujang dan anak keempat daripada lima beradik yang gemar memancing serta kerap turun ke laut.

“Dia seorang yang agak pendiam tetapi sangat bertanggungjawab. Kali terakhir saya jumpa dia pada 4 September lalu ketika rumahnya di Jalan Kebun di sini.

“Saya masih mengharap dia selamat kerana dia lasak dan memakai jaket keselamatan. Mungkin dia sempat mencapai tong atau sesuatu yang boleh membantunya terus terapung. Cuma kita bimbang sekiranya berlaku dehidrasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |