Kepala air: Batu licin, arus deras cabaran bomba selamatkan 19 pendaki

6 hours ago 6
ANGGOTA bomba menyelamatkan 19 mangsa yang terperangkap akibat kejadian kepala air di Lata Debu, Baling, petang tadi.
  • Oleh NORLIA RAMLI
  • 16 September 2026, 10:15 pm

BALING – Seramai 19 individu terperangkap akibat kejadian kepala air ketika mendaki di Lata Debu, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 4.11 petang tadi dengan lapan anggota dikejarkan ke lokasi dan terpaksa mendaki sejauh dua kilometer untuk sampai ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, didapati sembilan wanita dan 10 lelaki berusia antara 20 hingga 25 tahun dipercayai terperangkap akibat kepala air di lata tersebut.

“Ketika kejadian mereka dipercayai mahu turun dari gunung itu tetapi terperangkap selepas berlakunya kepala air,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi menyelamat dilakukan menggunakan kaedah menyeberangi sungai dengan tali bagi membawa seorang demi seorang mangsa ke lokasi selamat.

“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan operasi berjalan hampir empat jam disebabkan cabaran yang perlu dilalui termasuk batu yang licin dan arus sungai deras.

“Kepala air berlaku susulan hujan lebat hampir dua jam di kawasan itu,” ujarnya yang memaklumkan kesemua mangsa dipercayai bukan penduduk daerah ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |