PETALING JAYA – Walaupun mengakui mahu memadam dan melupakan pengalaman dipukul ketika berada di dalam penjara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejadian tersebut kekal sebagai antara episod sukar yang dilaluinya.
Anwar berkata, beliau tidak pernah menyangka akan dipukul setengah mati pada hari pertama berada di penjara selepas ditahan pada 1998.
“Tidak siapa duga bahawa saya boleh dipukul setengah mati, hari pertama di penjara, dipukul oleh Ketua Polis Negara pada masa itu.
“Ya saya mahu padamkan dan lupakan, tapi kenyataan begitu, masuk ke dalam lokap, digari, ditutup mata, dibelasah sehingga mati, saya pengsan sehingga pagi,” katanya dalam sebuah podcast (audio siar) hari ini.
Anwar berkata, ketika kejadian, beliau dibawa dalam keadaan separuh sedar sebelum Ketua Polis Negara ketika itu datang ke lokap di Bukit Aman.
“Saya bawa separuh sedar, ketua polis di Bukit Aman datang, tapi itu ramai yang pukul ataupun…tapi saya fikir bunyi macam seorang. Kalau lokap itu dia ada pangkin itu, simen ya. Jadi bila dia pukul depan, jatuh di pangkin itu sebab itu ada kecederaan di belakang sedikit,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau tetap bangun pada keesokan harinya dan menganggap pengalaman tersebut sebagai harga yang perlu dibayar untuk membawa perubahan serta membersihkan negara.
“Tapi saya ini degil juga, saya bangun besoknya. Untuk bertindak bawa perubahan, bersihkan negara, itu kita bayar dengan harga yang amat tinggi,” katanya.
Katanya, pengalaman tersebut turut menjadi pengajaran bahawa laluan untuk membawa perubahan bukanlah sesuatu yang mudah.
“Kalau mahu perubahan, jangan fikir laluannya mudah,” katanya.
Anwar berkata, sebelum ditahan, beliau sememangnya menjangka akan ditangkap susulan pendiriannya dalam memperjuangkan reformasi, membela nasib rakyat miskin, menghentikan amalan rasuah dan penindasan.
“Saya masa itu menduga, menjangka memang akan ditangkap, malahkan ada satu video yang keluar dari magazine internasional (majalah antarabangsa) yang saya beri pesanan kepada anak-anak.
“Tapi saya sendiri tidak terduga kemungkinan dipukul setengah mati,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
1




![[VIDEO] Serangan dron ke Mekah dipatahkan, jemaah umrah selamat – PU Rahmat](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/dc9c72ee-7d6b-4c43-b6dd-50b18e33db9b.jpeg)






































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)





