61 pelajar sekolah berasrama Perak terbabit kluster Influenza A

6 hours ago 4

IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sedang mengendalikan kejadian kluster Influenza A membabitkan seramai 61 orang pelajar sebuah sekolah berasrama di sini sejak kelmarin.

Pengerusi Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, sekitar 12.08 tengah hari kelmarin, seramai 57 orang pelajar bergejala dibawa secara serentak ke sebuah klinik kesihatan berhampiran dengan menaiki bas tanpa pemakluman awal.

Katanya, sebahagian pelajar yang dibawa ke klinik berkenaan juga didapati tidak membawa dokumen pengenalan diri masing-masing.

“Situasi ini telah menjejaskan kelancaran pengurusan pesakit di klinik berkenaan. Pada pukul 2 petang, Pasukan Bersepadu Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta dan klinik kesihatan berkenaan digerakkan ke sekolah bagi menjalankan pemeriksaan dan saringan kesihatan secara berpusat di sekolah.

“Pasukan yang terlibat terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan, seorang pembantu perawatan kesihatan, seorang pegawai farmasi, seorang anggota Pasukan Kawalan dan Pencegahan Infeksi serta tiga anggota Unit Survelan PKD Kinta,” katanya di sini, hari ini.

Sivanesan berkata, pada pukul 8 pagi semalam, pihak sekolah melaporkan tambahan 27 orang pelajar bergejala.

Katanya, walaupun sekolah telah dinasihatkan supaya membawa pelajar bergejala secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan di klinik, mereka memaklumkan hasrat untuk membuat pergerakan menggunakan sebuah bas milik sekolah.

“Penyelarasan semula kemudiannya dibuat oleh pihak klinik bagi memastikan proses penerimaan, saringan, dan penilaian pesakit dapat dilaksanakan secara teratur dan terkawal.

“Sebanyak 12 orang pelajar bergejala tambahan turut dikenal pasti, menjadikan keseluruhan 39 orang pelajar menjalankan penilaian kesihatan semalam,” katanya.

Sivanesan berkata, penilaian selesai pada pukul 1 petang dan kesemua pelajar dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Sehingga kelmarin, seramai 61 orang pelajar telah menjalani saringan dan penilaian kesihatan.

“Hasil penilaian mendapati seramai 46 orang didiagnosis dengan Influenza-Like Illness (ILI); 14 orang didiagnosis dengan Upper Respiratory Tract Infection (URTI) dan seorang didiagnosis dengan konjunktivitis,” katanya.

Beliau berkata, sampel nasopharyngeal swab (NPS) telah diambil daripada enam orang pelajar untuk ujian makmal.

“PKD Kinta meneruskan siasatan epidemiologi bagi mengenal pasti pola penularan, bilangan kes, kontak serta faktor risiko yang berkaitan. Pemantauan kes baharu dalam kalangan warga sekolah turut diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak sekolah telah dinasihatkan supaya tidak membawa pelajar bergejala dalam jumlah yang ramai secara serentak ke fasiliti kesihatan bagi mengelakkan kesesakan serta mengurangkan risiko penularan jangkitan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |