Remaja obses kumpul ‘bayi plastik’

6 hours ago 5

Bagi sesetengah orang, anak patung mungkin sekadar permainan zaman kanak-kanak yang ditinggalkan apabila meningkat dewasa.

Namun bagi seorang wanita berusia 20-an, Rochelle Sadd, minat itu tidak pernah hilang.

Malah, gadis dari New South Wales, Australia itu kini mempunyai anak patung reborn hiperrealistik yang menjadi sebahagian daripada hobinya.

Anak patung reborn direka menyerupai bayi sebenar, lengkap dengan ciri wajah, rambut dan tubuh yang sangat realistik.

Sadd mula tertarik dengan reborn ketika berusia sekitar 12 tahun selepas melihat iklan anak patung berkenaan.

“Saya masih ingat e-mel yang mengiklankan anak patung sangat cantik dan kelihatan seperti hidup.

“Saya hanya terfikir, alangkah seronoknya kalau saya boleh memilikinya,” katanya.

Minat itu semakin berkembang ketika di sekolah menengah apabila Sadd berpeluang membawa pulang RealCare baby iaitu anak patung yang direka untuk mensimulasikan pengalaman menjaga bayi.

“Saya sangat tertarik dengannya kerana fikir ia sangat menarik. Saya memang suka bermain dengan anak patung ini,” katanya.

Ketika berusia 17 tahun, impian Sadd tercapai apabila ibunya membelikan satu anak patung reborn terpakai.

Kini, koleksinya sudah mencecah enam anak patung, termasuk tiga yang menyerupai bayi baru lahir dan dua seperti bayi berusia sekitar tiga bulan.

Anak patung paling mahal dimilikinya berharga A$1,000 (RM2,900). Patung paling disukainya pula adalah Nixon, anak patung berambut perang yang kelihatan seperti sedang tidur.

“Mungkin saya menyukainya kerana ia kelihatan seperti saya dan kalau saya mempunyai anak lelaki, mungkin begitulah rupanya,” katanya.

Dalam kehidupan seharian, Sadd gemar menukar pakaian, mempamerkannya di ruang khas dan membawa anak patung itu menggunakan kereta sorong.

ANAK patung reborn mempunyai rupa dan ciri-ciri yang hampir sama dengan bayi sebenar.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa dirinya sedar bahawa anak patung itu bukan bayi sebenar.

“Saya suka bermain dengan anak-anak patung ini dan memakaikan pakaian, tetapi saya tahu mereka hanyalah anak patung. Jadi, saya tidak berpura-pura memberi mereka makan,” katanya.

Sadd turut berkongsi hobinya menerusi YouTube dan Instagram menggunakan nama Shell Bell yang memiliki sekitar 17,200 pengikut.

Untuk kandungan media sosial, dia melakukan role-play seperti memberi susu, mendukung dan membawa anak patung menaiki kereta sorong, selain menghasilkan video tutorial.

Hobi itu turut membawanya mengenali komuniti peminat reborn. Kini, sesekali Sadd bertemu wanita lain yang mempunyai minat sama, walaupun ada orang menganggapnya pelik.

Baginya, usia bukan alasan untuk meninggalkan perkara yang membuatkan seseorang gembira.

“Saya rasa orang lain juga patut cuba memiliki anak patung reborn. Sebagai wanita, kita tidak sepatutnya perlu meninggalkan hobi zaman kanak-kanak,” katanya.

Jelas Sadd, reborn bukan sekadar koleksi, sebaliknya hobi yang menyeronokkan, kreatif dan memberikan rasa selesa.

Orang dewasa juga berhak mempunyai ruang untuk melakukan sesuatu yang boleh membuatkan mereka bahagia.

Read Entire Article
Pertanian | | | |