Rakyat Jepun ‘panjang umur’, lebih 100,000 berusia atas 100 tahun

10 hours ago 10

TOKYO – Jumlah penduduk berusia 100 tahun ke atas di Jepun telah melebihi 100,000 orang buat julung kalinya, menurut kementerian kesihatan, lapor stesen penyiaran BBC.

Data menunjukkan Jepun kini menjadi rumah kepada 107,677 orang centenari ataupun individu berusia 100 tahun ke atas, iaitu angka tertinggi di dunia, dengan 88 peratus daripada mereka adalah wanita. 

Wanita tertua ialah Kishimoto Fuyo, berusia 114 tahun dari Bandar Kyoto, manakala lelaki tertua ialah Kato Hikaru, berusia 112 tahun dari Kumamoto.

Menteri Kesihatan Kenichiro Ueno berkata beliau ‘gembira kerana begitu ramai orang menjalani kehidupan yang panjang, sihat, dan aktif’, sambil memetik kemajuan dalam bidang perubatan dan teknologi.

Bagaimanapun, Kenichiro turut memberi amaran tentang cabaran yang dihadapi negara itu dalam mengekalkan sistem keselamatan sosial yang mampan.

Pakar mengaitkan jangka hayat panjang rakyat Jepun dengan beberapa faktor, termasuk pemakanan sihat dan gaya hidup aktif.

Makanan di negara kepulauan ini sebahagian besarnya terdiri daripada ikan, sayur-sayuran, dan nasi, serta mengandungi kurang lemak tepu berbanding kebanyakan diet Barat.

Warga emas di sana juga kerap berjalan kaki, menggunakan pengangkutan awam, berbasikal, dan melakukan senaman regangan.

Jepun telah mengalami proses penuaan populasi selama bertahun-tahun dan jualan lampin pakai buang dewasa telah melebihi jualan lampin bayi selama lebih satu dekad.

Syarikat-syarikat tempatan juga telah membangunkan produk baharu untuk populasi warga emas, termasuk struktur rangka luar berkuasa untuk menyokong pergerakan pelbagai anggota badan serta cermin mata yang melaraskan fokus secara automatik. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |