KOTA BHARU – Seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyepak anak perempuannya yang berusia lima tahun dengan menggunakan kaki di sebuah restoran ala Thailand dekat Batu 2, Jalan Kuala Krai di sini pada minggu lalu.
Tertuduh, Mohamed Nisa Mohamed Nasir, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai bapa kandung kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun tiga bulan didakwa menganiaya kanak-kanak itu dengan cara menyepaknya menggunakan kaki.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai makan, Restoran Baan Suwarin, Batu 2, Jalan Kuala Krai di sini kira-kira pukul 10.55 malam pada 11 September 2026.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili peguam, Zuhaidie Akmal Hasan Basri.
Terdahulu, Syazalia tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut melibatkan kanak-kanak dan terdapat kebarangkalian tinggi untuk tertuduh berhubung atau membuat komunikasi dengan mangsa.
Zuhaidie Akmal dalam rayuannya memohon satu ikat jamin yang rendah dengan alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga dengan menjaga isteri dan tiga orang anak.
“Tertuduh bekerja sebagai anggota tentera manakala isterinya tidak bekerja. Isteri tertuduh merupakan pesakit buah pinggang tahap lima dan memerlukan rawatan hemodialisis secara berkala iaitu dua hingga tiga kali seminggu di hospital.
“Tertuduh juga bukan seorang pendera atau melakukan keganasan rumah tangga dan anak yang dikatakan mangsa itu juga hadir ke mahkamah hari ini,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan terutama mangsa, pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap dua bulan sekali.
Mahkamah turut menetapkan 22 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang lelaki bertindak kasar apabila menyepak kanak-kanak perempuan dipercayai anaknya di sebuah restoran masakan ala Thailand di Telipot di sini pada Jumaat lalu.
Video itu dimuat naik pemilik premis terbabit menerusi akaun Facebook sebelum tular di media sosial.-KOSMO! ONLINE

6 hours ago
5












![[VIDEO] ‘4 kanak-kanak leka bermain dalam saliran air, bimbang tragedi Kulim berulang’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/parit.jpeg)






























![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)





