Teknik memburu ‘ikan serigala’

6 hours ago 4

Aimara atau ikan serigala (wolf fish) bukan sebarang jenis ikan. Sifatnya yang ganas dengan profil rahang disenjatai gigi tajam, kuat dan berceranggah membuatkan ia boleh mengekah hancur gewang dengan senang.

Sepanjang perjalanan melebihi 180 kilometer menyusuri Sungai Suriname di French Guiana menggunakan kayak angin, Zahrin dan rakan-rakannya fokus kepada sasaran utama ekspedisi, iaitu ikan aimara (Hoplias aimara), spesies pemangsa air tawar dikenali sebagai wolf fish.

Asing dengan sifat dan habitat ikan aimara membuatkan Zahrin perlu lebih tertumpu kepada aspek teknikal memburunya seperti memahami karakter ikan, mengenal pasti lubuk, pemilihan set mengilat, kekuatan tali dan perambut, jenis gewang sehinggalah kepada teknik mempersembahkannya.

Ikan ini mempunyai tubuh tegap, kepala besar dan rahang yang dilengkapi gigi tajam. Namun, perkara menjadikannya menarik adalah sifatnya yang agresif dan kewilayahan (territorial).

Karakter itu mempunyai persamaan dengan ikan kerandang di Malaysia yang gemar menjadikan kawasan berstruktur sebagai kubunya untuk menunggu dan menyerang mangsa.
Justeru itu, mencari ikan aimara, bermakna mencari struktur.

Sepanjang ekspedisi, antara kawasan yang diberikan perhatian adalah kayu pokok tumbang, reba-reba tenggelam, tebing berstruktur, alur sungai serta kawasan cetek bersebelahan dengan bahagian sungai lebih dalam.

Disebabkan sifatnya yang territorial, gewang perlu memasuki zon serangan ikan. Di sinilah ketepatan balingan memainkan peranan besar.

Balingan gewang yang tersasar satu atau dua kaki dari struktur mungkin tidak akan menerima tindak balas.

Sebaliknya, apabila ia jatuh tepat ke kawasan persembunyiannya, aimara boleh menyergap secara spontan.

Dari atas kayak, ruang untuk melakukan balingan juga lebih terhad berbanding memancing dari tebing.

Fabien dengan salah seekor ikan aimara yang berjaya dihela keluar dari reba banat.

Kedudukan badan, arah arus dan pergerakan kayak perlu diambil kira sebelum gewang dilontarkan.

Set pancing

Walaupun ikan aimara tidak bersaiz sebesar spesies ikan air tawar gergasi lain, namun ia tetap memerlukan set pancing kelas berat kerana habitatnya yang bereba banat.

Joran minimum kelas PE5 menjadi pilihan, dipadankan dengan tali utama berkekuatan sekitar 70 paun (lb) bersambung perambut serap kejutan fluorocarbon 80lb dan diikat sejengkal perambut wayar 80lb kerana giginya mudah memutuskan perambut biasa.

Selepas sambaran, aimara akan cuba kembali ke mahligainya secara kasar.

Jika ikan diberikan terlalu banyak tali, ia berpeluang masuk ke bawah kayu atau reba. Apabila itu berlaku, peluang untuk mendaratkannya menjadi jauh lebih rendah.

Salah satu perkara penting ketika memburu aimara adalah tindak balas selepas sambaran.

Pemancing tidak mempunyai banyak masa untuk membiarkan ikan membawa gewang.

Joran wajib dirembat pantas sebelum tekanan diberikan bagi menghalang ia kembali ke struktur. Jadi, 10 saat yang pertama pertarungan menjadi tempoh paling kritikal.

Konsepnya lebih kepada menahan dan mengubah arah benaman ikan daripada melayan pertarungan terlalu lama.

Topwater

Gewang permukaan atau topwater menjadi antara pilihan utama kerana keadaan Sungai Suriname yang mempunyai banyak struktur.

Pemandangan salah satu lokasi di Sungai Suriname yang menjadi tempat pemancing mengilat dari atas batu-batu.

Penggunaan popper dan buzz frog membolehkan kawasan sekitar kayu, reba serta tebing sungai dite­rokai dengan risiko sangkut yang lebih rendah berbanding gewang jenis selaman.

Bunyi dan percikan yang dihasilkan gewang permukaan juga mampu mencetuskan sifat agresif aimara.

Jika terdapat aimara yang menjaga kawasan berkenaan, serangan boleh berlaku ketika gewang baru mula bergerak atau selepas beberapa karauan.

Gewang soft plastic pula memberi­kan pilihan persembahan berbeza, manakala swimbait digunakan sekiranya ikan berada di kawasan lebih dalam.

Pemilihan warna turut memainkan peranan dengan rona yang terang seperti hijau, kuning dan jingga lebih mudah dikesan ikan.

Namun, berdasarkan pengalaman sepanjang ekspedisi, warna dan jenis gewang tidak menjamin kejayaan sambaran ikan. Ketepatan gewang dilontar ke sasaran berpotensi lebih penting.

Sight casting

Dalam beberapa lokasi di sungai, perubahan paras air menghasilkan bahagian cetek seakan-akan ko­lam-kolam kecil yang bersambung dengan aliran sungai utama melalui alur air sempit.

Didapati, ikan aimara gemar berada di dalam kawasan tersebut, berkemungkinan menunggu mangsanya termasuk di dalam perangkap semula jadi.

Tekniknya pula adalah melempar gewang ke aliran air masuk ke dalam kolam, dan aimara biasanya akan menyergapnya sebaik gewang masuk atau ketika ia keluar ke aliran untuk ke sungai utama.

Sight casting ini paling mengujakan kerana pemancing dapat melihat dengan jelas bagaimana ikan mengejar gewang dengan rakus sebelum menelannya.

120 ekor menjadi bukti

Sepanjang 11 hari ekspedisi, Zahrin sendiri berjaya mendaratkan hampir 120 ekor ikan aimara.

Jumlah itu memberikan ruang kepadanya untuk memahami bahawa memburu wolf fish sebenarnya banyak bergantung kepada tiga perkara, iaitu membaca struktur, ketepatan balingan dan kemampuan mengawal ikan selepas sambaran.

Bagi pemancing Malaysia yang biasa memburu ikan toman, haruan atau kerandang menggunakan teknik mengilat, asas permainannya mungkin kelihatan tidak terlalu asing.

Bezanya, aimara mempunyai gigi lebih berbahaya, habitat penuh struktur serta sifat mempertahan-
kan wilayah yang menjadikan setiap sambaran perlu ditangani dengan pantas dan waspada.

Read Entire Article
Pertanian | | | |