NAGOYA – China meletakkan sasaran tinggi untuk menyapu bersih kesemua tujuh pingat emas badminton Sukan Asia Aichi-Nagoya biarpun terpaksa melakukan pertukaran pemain pada saat akhir susulan masalah kesihatan Chen Boyang.
Persatuan Badminton China mengesahkan pemain beregu lelaki itu mengalami masalah kesihatan secara tiba-tiba dan selepas penilaian pasukan perubatan serta pakar beberapa hospital, dia disahkan tidak dapat beraksi dan He Jiting dipanggil sebagai pengganti.
“Bagi melindungi kesihatan atlet dan membuat persediaan sepenuhnya menghadapi temasya, pasukan kebangsaan mengambil kira beberapa faktor termasuk prestasi, karakter teknikal, keserasian pasangan dan pengalaman kejohanan utama sebelum memutuskan He Jiting menggantikan Chen Boyang dalam acara berpasukan lelaki dan beregu lelaki,” menurut kenyataan persatuan itu.
Jiting akan digandingkan dengan Liu Yi buat kali pertama dalam kejohanan utama antarabangsa, namun kedua-duanya yakin tidak berdepan masalah besar untuk membentuk keserasian kerana sering berpasangan ketika sesi latihan skuad kebangsaan.
Kehilangan Boyang tidak mengubah misi besar China apabila mereka membawa skuad 31 pemain yang sarat pengalaman diketuai Shi Yuqi, Chen Yufei, Jia Yifan dan Huang Dongping dalam usaha membolot ketujuh-tujuh emas acara berpasukan serta individu.
Sasaran itu hadir selepas China meraih empat emas, tiga perak dan dua gangsa pada Sukan Asia Hangzhou dengan kejayaan diraih menerusi acara berpasukan lelaki, perseorangan lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Bagaimanapun, usaha menyapu bersih emas dijangka berdepan tentangan sengit dengan Korea Selatan yang diterajui pemain No. 1 dunia, An Se-young menjadi ancaman utama dalam acara wanita, manakala tuan rumah Jepun turut memiliki barisan kompetitif.
Cabaran juga menanti Yuqi dan Li Shifeng dalam perseorangan lelaki apabila perlu berdepan pemain seperti Jonatan Christie dari Indonesia, Kunlavut Vitidsarn (Thailand) serta Kodai Naraoka (Jepun). – AGENSI

6 hours ago
4












![[VIDEO] ‘4 kanak-kanak leka bermain dalam saliran air, bimbang tragedi Kulim berulang’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/parit.jpeg)






























![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)





