GEORGE TOWN – Pengusaha tadika swasta di Pulau Pinang merayu kerajaan dan Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbangkan bantuan berbentuk geran atau subsidi bagi memastikan kelangsungan operasi.
Seorang pengusaha tadika di daerah Barat Daya yang mahu dikenali sebagai Che Zainab berkata, kewujudan serta pertambahan kelas prasekolah kerajaan sejak beberapa tahun lalu memberi kesan kepada jumlah pendaftaran di tadika swasta.
Menurutnya, keadaan itu dijangka menjadi lebih mencabar apabila pelaksanaan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke darjah satu bermula sesi persekolahan tahun depan.
“Pada awalnya impak tidak begitu ketara kerana pengambilan prasekolah kerajaan terhad, tetapi apabila bilangan murid dan kelas semakin bertambah, kami mula merasai kesannya.
“Situasi ini (tadika terkesan) sebenarnya bermula selepas pandemik Covid-19. Sekarang, boleh dikatakan kami terkesan hampir 80 peratus,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini.
Beliau berkata, pengusaha tadika swasta perlu menanggung sendiri pelbagai kos operasi termasuk gaji pekerja, sewa premis dan keadaan itu lebih mencabar bagi tadika yang beroperasi di kawasan pinggir bandar kerana kemampuan ekonomi penduduk.
“Kalau keadaan ini berterusan, memang ada kemungkinan, kami terpaksa ambil keputusan gulung tikar. Buat masa sekarang, selagi boleh bertahan, kami bertahan. Namun ada tadika di kawasan Barat Daya terpaksa ditutup kerana tidak mampu tanggung kos.
“Kami faham usaha kerajaan menyediakan sistem pendidikan yang terbaik untuk anak-anak terutama mereka daripada golongan yang kurang berkemampuan. Namun, pada masa sama, nasib pengusaha tadika swasta perlu diberi perhatian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi kepada ibu bapa yang gagal mendapat tempat di prasekolah kerajaan tetapi memilih untuk menghantar anak ke tadika swasta.
Jelasnya, bantuan itu boleh disalurkan kepada ibu bapa bagi menampung sebahagian kos yuran, sekali gus membantu tadika swasta meneruskan operasi.
“Dengan cara itu, ibu bapa mendapat bantuan, manakala tadika swasta juga dapat terus bertahan,” katanya.

2 hours ago
3





![[VIDEO] Cahaya misteri biru ‘mendarat’ di Kuala Nerus](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/cctv-cahaya-biru.jpeg)

![[VIDEO] ‘Dia main ketuk-ketuk pintu pula…’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/tular-viral-seram-pejabat.jpeg)



































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)





