Saya ingin bertanya, sebahagian orang mudah-mudah membidaahkan amalan seperti tahlil, maulid dan membaca Yasin pada malam Jumaat dengan alasan, setiap perkara berkait dengan ibadah adalah haram. Adakah kaedah ini benar dan jika benar bagaimana cara untuk memahaminya?
Jawapan: Secara mudahnya, fiqh ialah suatu kaedah umum yang bersifat menyeluruh atau kebiasaan yang mana daripadanya kita dapat mengetahui hukum-hakam bagi cabang-cabang yang berkaitan dengannya. Kami telah menjelaskan berkenaan maksud kaedah fiqh dalam artikel yang bertajuk Irsyad Usul Fiqh Siri Ke-6: Perbezaan di Antara Usul Feqh dan Kaedah Feqh.
Antara kaedah yang disebutkan oleh para ulama ialah ‘Hukum asal bagi segala ibadah adalah haram atau dilarang’.
Namun, kaedah tersebut sering digunakan untuk membidaahkan amalan-amalan yang menjadi perselisihkan dalam kalangan ulama. Kebanyakan para ulama ketika menyatakan kaedah asal hukum berkaitan ibadah mereka akan menggunakan lafaz:
“Hukum asal berkaitan ibadah adalah terhenti kepada dalil (tawaqquf).”
Selain itu, Imam Shamsuddin al-Ramli dalam kitab Ghayah al-Bayan Syarh Zubad Ibn Ruslan turut menggunakan lafaz yang hampir serupa. Imam Ibn Daqiq al-‘Ied ketika menjelaskan kaedah ini berkata, kebanyakan ibadat adalah berbentuk taabudi iaitu perintah atau larangan Allah SWT yang wajib ditaati, meskipun tidak diketahui alasannya. Ia tidak lain hanyalah sebagai ujian kepada orang beriman sama ada mereka mentaati perintah tersebut atau tidak. Antara contoh bentuk taabudi adalah bilangan rakaat sembahyang dan menyapu di atas khuf.
Manakala hukum asal perkara yang berkaitan dengan urusan kehidupan seharian pula hendaklah melihat kepada sebab dan alasan. Hal ini demikian berdasarkan pemerhatian beliau terhadap perintah-perintah Allah SWT dalam perkara ibadah seperti pergerakan dalam sembahyang, menghilangkan najis mesti menggunakan air sekalipun boleh menggunakan selain air dan begitulah dalam urusan ibadat lain.
Para ulama turut membincangkan perkara ini dalam perbahasan qiyas yang mana ulama berbeza pandangan sama ada adakah qias boleh berlaku dalam perkara berkaitan ibadah atau tidak?
Ulama mazhab Hanafi berpandangan bahawa qiyas tidak boleh digunakan pada usul ibadah. Manakala ulama mazhab Syafi’i pula membenarkan qiyas dalam bab ibadah. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Isnawi dalam kitabnya Nihayah al-Sul: “Pandangan yang kuat dan ia pandangan mazhab Syafi’i sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Baidawi, qiyas boleh berlaku dalam semua perkara berkaitan hukum, hal ini bermaksud: “Dibenarkan untuk melakukan qisas dalam semua hukum termasuklah hudud, kaffarah, rukhsah dan ketetapan kadar, jika syarat-syarat qiyas dipenuhi.”
Menurut Syeikh Abdul Malik Sa’di, pandangan yang melarang untuk menggunakan qiyas dan ijtihad secara mutlak dalam bab ibadah tidak tepat.
Antara contoh penggunaan qiyas dalam ibadah adalah perbuatan Usman RA yang menambah azan solat Jumaat. Beliau memahami bahawa sebagaimana ketika solat subuh, azan yang pertama bertujuan mengejutkan orang ramai, maka begitulah perlunya ditambah azan pertama bagi menyedarkan orang ramai yang sedang leka di pasar.
Berkaitan dengan amalan seperti tahlil, maulid dan membaca Yasin pada malam Jumaat, meskipun ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW, namun terdapat dalil-dalil umum yang mengisyaratkan keharusannya, di samping tidak ada mana-mana nas yang melarangnya.
Kesimpulannya, antara kaedah yang masyhur dalam kalangan ulama seperti Ibn Hajar al-Asqalani dan Shamsuddin al-Ramli adalah ‘hukum asal bagi ibadah adalah terhenti kepada dalil’.
Bagaimanapun, kaedah ini tidak boleh digunakan untuk bermudah-mudah dalam membidaahkan amalan. Kaedah ini perlulah difahami dengan neraca usul al-Fiqh yang benar berpandukan dalil al-Quran, hadis, ijmak dan qias.
Kaedah ini berkait rapat dengan perbincangan ulama usul fiqh berkaitan adakah qias boleh digunakan dalam bab ibadah? Para ulama berbeza pandangan dalam masalah ini, namun secara praktikalnya majoriti ulama menerima qiyas di dalam bab ibadah.
Mengharuskan qiyas digunakan dalam bab ibadah tidak bermakna sesiapa sahaja boleh mereka-reka ibadat baharu atau menambah perkara yang telah menjadi ijmak dalam kalangan ulama seperti bilangan rakaat dalam solat fardhu.
Qiyas merupakan salah satu asas dalil yang digunakan oleh ulama Ahli Sunah Wa al-Jamaah dan memiliki syarat-syarat yang ketat. Ibadat yang disyariatkan hanya atas asas taabudi iaitu perintah atau larangan Allah SWT yang wajib ditaati, meskipun tidak diketahui alasannya tidak boleh lakukan qiyas ke atasnya. Manakala bidaah yang tertolak pula adalah perkara menyanggahi syarak atau tidak memiliki mana-mana asas dalil syarak umum dan kaedah-kaedah agama.

2 hours ago
2





![[VIDEO] Cahaya misteri biru ‘mendarat’ di Kuala Nerus](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/cctv-cahaya-biru.jpeg)

![[VIDEO] ‘Dia main ketuk-ketuk pintu pula…’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/tular-viral-seram-pejabat.jpeg)



































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)





