GELANGGANG hiburan bukan hanya platform mencipta cerita, sebaliknya turut menjadi cermin kepada nilai, budaya dan pegangan masyarakat.
Namun apabila kreativiti mula bersilang dengan batas agama serta norma ketimuran, sebuah karya mampu bertukar daripada hiburan kepada polemik nasional.
Gala minggu ini menyingkap empat naskhah tempatan pernah mencetuskan kontroversi akibat kandungan sensitif.

MADU ATAU RACUN
DRAMA bersiri terbitan Metrowealth International Group (MIG), Madu Atau Racun, menjadi antara kontroversi paling hangat dalam industri kreatif tempatan pada 2026.
Karya berkenaan menerima kecaman hebat selepas didakwa memaparkan elemen LGBTQ, babak keterlaluan, isu poligami secara melampau serta unsur budaya songsang. Paparan sedemikian dianggap menyentuh sensitiviti agama dan norma masyarakat Malaysia.
Kemelut semakin besar apabila Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai penayangannya selain menegaskan kandungan drama tersebut bertentangan dengan prinsip syariah.
Kontroversi kemudian mendapat perhatian Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi Menterinya, Dr. Zulkifli Hasan yang menolak penayangan drama tersebut atas alasan kandungannya mencetuskan keresahan masyarakat.
Tidak berhenti setakat teguran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut mengarahkan enam episod sudah ditayangkan di platform iQIYI diturunkan serta-merta.
Kesemua 12 episod wajib melalui proses suntingan dan dinilai kembali. Panel khas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diberi tanggungjawab meneliti keseluruhan jalan cerita serta konteks kandungan bagi memastikan karya berkenaan mematuhi garis panduan penyiaran Islam.
MIG turut tampil memohon maaf secara terbuka atas kontroversi tersebut, semua episod diturunkan untuk melalui proses penambahbaikan.

CELA
NASKHAH web psikologi-misteri Cela pula menjadi antara naskhah terbaharu berada bawah radar institusi agama pada 2026.
Mengangkat tema cinta, manipulasi, kehilangan dan rahsia silam, Cela berkisar kehidupan golongan elit penuh tipu daya. Namun, beberapa klip montaj dan adegan awal tular dalam media sosial lalu mencetuskan keresahan penonton.
Antara kritikan utama membabitkan babak intimasi fizikal dan sentuhan ghairah dianggap melampaui batas serta tidak selari dengan norma budaya Timur dan ajaran Islam.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan turut menyuarakan kebimbangan agar industri seni tidak menormalisasikan budaya hidup Barat atau adegan tidak bermoral semata-mata untuk mengejar rating.
Pada 2 September, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, mengarahkan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bersama FINAS memanggil wakil platform penstriman untuk sesi penjelasan kritikal susulan isu Madu Atau Racun dan Cela.
Pada 11 September pula, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, mengesahkan panel penilai JAKIM sudah campur tangan bagi meneliti keseluruhan jalan cerita Cela.
FINAS turut meletakkan syarat tambahan bertulis dalam Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), khususnya bagi mengawal paparan unsur kemudaratan sosial dalam karya kreatif pada masa hadapan.

BIDAAH
BIDAAH menjadi antara drama web agama paling hangat diperdebatkan pada 2025. Siri psikologi-agama terbitan Rumah Karya Citra milik Erma Fatima itu mencetuskan kegelisahan awam apabila babak Ummi Rabiatul, lakonan Vanidah Imran, menyentuh janggut Walid (Faizal Hussein) menggunakan kaki menjadi antara paling kontroversi.
Paparan itu dianggap keterlaluan dan tidak sopan, malah dikhuatiri mencemarkan imej penampilan para ulama. Beberapa visual serta dialog berkaitan ritual kumpulan berkenaan turut dibimbangi boleh mengelirukan penonton. Pada 15 Mac 2025, JAKIM menerusi Ahli Jawatankuasa
Penapisan Media Berunsur Islam memanggil pihak produksi utuk satu taklimat penting.
Penerbit eksekutif, Erma Fatima, kemudian mengakui kekhilafan serta bersetuju menyunting dua adegan kontroversi berkenaan.
Menariknya, kontroversi Bidaah tidak hanya dilihat dari satu sudut. Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza, memberikan pandangan berbeza dengan memuji mesej tersirat drama tersebut.

PEREMPUAN ITU
SEBELUM penstriman digital menjadi gelanggang kontroversi, Perempuan Itu terlebih dahulu mencetuskan kegemparan pada 2022.
Drama 30 episod arahan Isma Yusoof dan terbitan Erma Fatima itu asalnya dirancang sebagai naskhah premium Ramadan untuk TV3 namun, satu video dimuat naik pelakon utamanya, Zul Ariffin, pada 18 Mac 2022 mengubah segala-galanya.
Video tersebut memaparkan beberapa adegan dianggap terlalu intim, termasuk aksi watak Zul Ariffin mendukung pelakon baharu Siti Hariesa serta babak menyuapkan krim putar ke mulut dengan gaya mengghairahkan.
Paparan itu mencetuskan kecaman kerana drama berkenaan dijadualkan untuk tayangan sepanjang Ramadan.
Pada 21 Mac 2022, JAKIM menerusi Ketua Pengarahnya ketika itu, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, menentang keras penyiaran video tersebut malah isu turut dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sehari kemudian, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor, menggesa kerajaan menyekat tayangan drama tersebut. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, Datuk Idris Ahmad, juga menegur penggiat seni agar tidak mengejar rating menerusi kandungan berpotensi merosakkan nilai agama.
Zul kemudian disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan pada 4 Oktober 2022, dia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang dan didenda RM30,000. Kes berkenaan mencatat sejarah apabila Zul menjadi pelakon Malaysia pertama didenda di mahkamah akibat memuat naik adegan drama tular.

6 hours ago
5










































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)






