Lebih 68,000 orang hilang kerja

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Pasaran buruh negara berada pada tahap stabil secara keseluruhannya walaupun sebanyak 68,177 individu kehilangan pekerjaan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Walaupun berlaku peningkatan 15,196 orang kehilangan kerja berbanding tempoh sama tahun lalu, pasaran buruh secara keseluruhannya kekal berdaya tahan dengan tenaga buruh dan jumlah penduduk bekerja terus meningkat setakat Julai 2026.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pekerja dalam sektor pembuatan serta perdagangan borong dan runcit antara yang paling terjejas.

“Setakat Julai, tenaga buruh meningkat kepada 17.37 juta orang manakala penduduk bekerja mencecah 16.85 juta orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus.

“Kadar pengangguran pula kekal 3.0 peratus sama seperti bulan sebelumnya membabitkan sekitar 520,300 penganggur,” katanya ketika Taklimat Krisis Bekalan Global di sini hari ini.

Menurutnya, situasi itu menunjukkan pasaran buruh negara secara keseluruhannya masih berada pada tahap stabil, walaupun tekanan tertentu terus wujud dalam beberapa sektor.

Katanya, kerajaan sentiasa berwaspada terhadap perkembangan itu, khususnya peningkatan kehilangan pekerjaan dalam sektor yang terjejas.

“Perkeso turut melaksanakan penempatan semula pekerjaan menerusi Sistem Insurans Pekerjaan dan portal MYFutureJobs dalam usaha membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan kembali ke pasaran buruh,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 143,653 pekerja berjaya ditempatkan semula dalam pekerjaan menerusi inisiatif berkenaan bagi tempoh Januari hingga 11 September lalu.

“Perkembangan itu menunjukkan intervensi kerajaan bukan sekadar menyediakan sokongan sementara kepada pekerja yang terjejas, sebaliknya turut membantu mereka mendapatkan pekerjaan baharu,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |