LUMUT – Pengarah Perisikan Strategik Kementerian Pertahanan, Brigadier Jeneral Datuk Abd. Razak Sipit dilantik sebagai Ketua Tim Nukleus Angkatan Siber Angkatan Tentera (ATM).
Beliau menerima watikah pelantikan dari Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Peluncuran Tim Nukleus Angkatan Siber ATM di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, hari ini.
Tim Nukleus kini dianggotai oleh 14 orang ahli, dengan matlamat penubuhannya untuk mengkaji keperluan penubuhan perkhidmatan keempat ATM selaras dengan Angkatan Masa Hadapan (AMH) dan transformasi ATM.
Mereka bertanggungjawab merancang struktur organisasi, membentuk doktrin serta memulakan pembangunan Angkatan Siber sebagai persediaan menghadapi ancaman peperangan era digital.
Mohamed Khaled berkata, peperangan pada hari ini bukanlah dalam bentuk yang sama seperti sebelum ini, justeru menjadi satu keperluan bagi ATM untuk menubuhkan Angkatan Siber.
“Ancaman-ancaman kepada keselamatan datang dalam bentuk bukan tradisional dan dalam bentuk yang pelbagai atau hibrid. Peperangan bukan semata-mata berasaskan kepada angkat senjata.
“Lebih-lebih lagi dalam keadaan kemajuan teknologi pada hari ini, kekuatan sesuatu angkatan tentera itu juga bergantung kepada penggunaan teknologi.
“Ia apa yang dipanggil sebagai Network-Centric Operation. Maknanya menggunakan network (rangkaian),” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan peluncuran Tim Nukleus Angkatan Siber ATM sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-93 di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.
Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata, Tim Nukleus Angkatan Siber ATM itu akan mengkaji dan membangunkan segala keperluan sehinggalah tercapai matlamat cabang itu diwujudkan.
Pada masa sama, beliau percaya Angkatan Siber ATM akan beroperasi sepenuhnya pada 2030 sebagaimana yang disasarkan.
“Keanggotaannya diambil dari cabang-cabang ATM serta lantikan-lantikan baharu terutamanya mereka yang berlatar belakang pendidikan teknologi maklumat, kecerdasan buatan dan lain-lain,” katanya.
Angkatan Siber ATM akan menjadi peneraju domain siber dan elektromagnetik pertahanan negara.
Ia akan menggabungkan tiga organisasi utama sekali gus menyatukan fungsi perisikan, siber, elektromagnetik dan geospatial dalam satu angkatan. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2










































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)






