Sumbangan RM1.5 juta lindungi 500 pekerja gig

2 hours ago 2

PETALING JAYA – Lebih RM1.5 juta sumbangan penyedia platform diperuntukkan bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial kepada kira-kira 500 pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing di seluruh negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, sumbangan berjumlah RM1,514,412.40 itu membabitkan Foodpanda Malaysia sebanyak RM1 juta, Grab Malaysia RM500,000 dan Haloje Delivery RM14,412.40.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan penting bagi memastikan pekerja gig tidak hanya mempunyai peluang menjana pendapatan, malah turut dilindungi sekiranya berlaku perkara tidak dijangka ketika menjalankan pekerjaan.

Ramanan (dua dari kiri), Subahan (kiri) dan Dr. Mohammed Azman (tiga dari kiri) menyempurnakan sesi Flag Off pada majlis berkenaan di Petaling Jaya hari ini. Foto ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

“Di sebalik setiap rider (penghantar) dan pemandu ada keluarga yang bergantung kepada pendapatan mereka. Sebab itu perlindungan sosial bukan perkara yang boleh diambil ringan.

“Ia adalah jaringan keselamatan yang amat penting apabila berlaku sesuatu yang tidak dijangka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat di Strand Mall, Kota Damansara, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed yang juga Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) bagi penggal 2026 hingga 2028.

Mengulas lanjut Ramanan berkata, kerjasama antara kerajaan dan penyedia platform menunjukkan industri gig juga mempunyai peranan dalam memperkukuh perlindungan sosial golongan berkenaan.

“Kerjasama seperti ini menunjukkan bahawa kerajaan dan industri boleh bergerak bersama untuk memastikan pekerja gig bukan sahaja mempunyai peluang mencari pendapatan, tetapi turut mempunyai perlindungan,” katanya.

Beliau berkata, jumlah pekerja gig di Malaysia semakin ramai, termasuk dalam sektor penghantaran makanan dan p-hailing serta perkhidmatan e-hailing.

Ramanan ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat di Petaling Jaya hari ini. Foto ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

Justeru, katanya, usaha memperluas perlindungan sosial perlu dilaksanakan seiring dengan perkembangan sektor berkenaan bagi memastikan golongan yang bergantung kepada pendapatan gig tidak terdedah sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian yang menjejaskan keupayaan mereka untuk bekerja.

Dalam perkembangan sama, Ramanan berkata, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus memperkukuh perlindungan sosial menerusi pelbagai skim dan kemudahan yang disediakan kepada pekerja.

Festival Mega iLINDUNGu turut menyediakan akses kepada perkhidmatan PERKESO termasuk semakan caruman, khidmat nasihat berkaitan faedah serta pendaftaran skim perlindungan sosial.

Program yang berlangsung dari 18 hingga 20 September itu turut menyediakan kaunter khas Opt-In LINDUNG 24 Jam bagi membolehkan pekerja yang sebelum ini memilih untuk tidak meneruskan perlindungan mendaftar semula secara terus.

Selain perlindungan sosial, festival berkenaan turut menawarkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan menerusi penyertaan 25 majikan dengan tawaran gaji antara RM2,000 hingga RM12,000 melalui MYFutureJobs.

Ramanan berkata, pendekatan itu selaras dengan aspirasi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk membawa peluang pekerjaan, perlindungan sosial dan perkhidmatan kerajaan secara terus kepada masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |