Malaysia-Australia perkukuh pertahanan, hadapi cabaran keselamatan serantau

1 day ago 15

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Australia memperkukuh hubungan pertahanan kedua-dua negara ke tahap lebih strategik menerusi penubuhan Jawatankuasa Perancangan Strategik bagi memacu kerjasama dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau.

Persetujuan itu dicapai Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles MP ketika mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Australia (HLC) Ke-6 di Geelong, Australia, semalam.

Jawatankuasa itu akan menjadi langkah pertama untuk menentukan bidang keutamaan kerjasama pertahanan, selain memacu pelaksanaan projek dan aktiviti yang dipersetujui kedua-dua negara.

Kedua-dua menteri turut menegaskan komitmen membentuk kerjasama pertahanan yang lebih bersedia menghadapi cabaran keselamatan dalam tempoh sedekad akan datang, termasuk perkembangan dalam persekitaran Indo-Pasifik.

Kerjasama sedia ada akan terus diperluas menerusi Malaysia-Australia Joint Defence Program (MAJDP) termasuk Exercise Keris Strike 2026 di Sabah, kerjasama maritim dan pasukan khas serta peluang pendidikan ketenteraan profesional dan pertukaran anggota.

Malaysia dan Australia turut bersetuju meneroka penglibatan berintensiti tinggi dan berorientasikan operasi bagi meningkatkan tahap kesalingoperasian antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Australian Defence Force.

Kerjasama menerusi Operation Gateway, ia turut diperkukuh bagi meningkatkan kesedaran domain maritim, selain mempertingkat integrasi kedua-dua angkatan dalam menyokong kepentingan keselamatan bersama.

Mohamed Khaled ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Australia (HLC) Ke-6 di Geelong, Australia, semalam bersama Richard Marles.

Dalam perkembangan berkaitan, kerja menaik taraf infrastruktur dan pembaikan landasan di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Kedua-dua negara bersetuju mengadakan majlis bersama bagi menandakan penyempurnaan projek berkenaan serta menegaskan kepentingan pangkalan itu sebagai platform kerjasama pertahanan dua hala, penglibatan serantau dan aktiviti Five Power Defence Arrangements (FPDA).

Kerjasama logistik kedua-dua negara turut diperkukuh menerusi pemeteraian pembaharuan Mutual Logistics Support Arrangement (MLSA).

Pengaturan itu akan meningkatkan sokongan logistik, kesalingoperasian serta keupayaan kedua-dua angkatan untuk bekerjasama dalam latihan, operasi dan pelbagai penglibatan pada masa depan.

Selain aspek operasi, Malaysia dan Australia turut meneroka penubuhan Defence Science Technology and Industry Working Group bagi mengenal pasti projek industri pertahanan yang boleh memberi manfaat bersama.

Australia juga dijangka menghantar misi perdagangan industri pertahanan ke Malaysia dalam masa terdekat bagi meneroka peluang kerjasama antara kerajaan, industri dan pihak berkepentingan pertahanan.

Dalam menghadapi ancaman baharu, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama keselamatan siber dan daya tahan siber, selain memperkukuh perkongsian maklumat, penyelidikan serta penglibatan praktikal dalam teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI) untuk pertahanan.

Malaysia dan Australia turut menekankan kepentingan keamanan serta kestabilan serantau, termasuk kebebasan pelayaran dan penerbangan serta penyelesaian pertikaian secara aman berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Mohamed Khaled menyaksikan pemeteraian pembaharuan perjanjian Mutual Logistics Support Arrangement (MLSA) yang ditandatangani antara Malaysia dan Australia.

Dalam isu Laut China Selatan, kedua-dua negara menyatakan kebimbangan terhadap tindakan yang meningkatkan ketegangan dan menjejaskan keamanan, keselamatan serta kestabilan serantau.

Kedua-duanya menegaskan tuntutan maritim perlu selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata hubungan pertahanan Malaysia dan Australia telah lama terjalin serta berkembang menerusi kerjasama dua hala dan pelbagai hala.

“Hubungan dan kerjasama pertahanan Malaysia dan Australia telah lama terjalin, merentasi zaman perang dan aman (through war and peacetime), serta terus berkembang menerusi kerjasama dua hala dan pelbagai hala.

“Teras kepada hubungan yang kukuh ini ialah kepercayaan dan keyakinan bersama yang telah dibina oleh kedua-dua negara sejak sekian lama,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia dan Australia turut bekerjasama menerusi platform seperti FPDA dan ASEAN Defence Ministers’ Meeting-Plus (ADMM-Plus) dalam mendepani pelbagai cabaran keselamatan serantau.

“Dalam landskap keselamatan yang semakin kompleks, hubungan yang telah dibina sekian lama ini perlu terus diperkukuh dan dibawa ke tahap seterusnya, daripada kerjasama kepada kolaborasi yang lebih strategik, substantif dan berorientasikan hasil,” katanya.

Lawatan Mohamed Khaled ke Australia bermula 16 September itu turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datin Paduka Sharrina Abdullah serta Ketua Pengarah Malaysia Defence Intelligence Organisation (MDIO), Leftenan Jeneral Datuk Fazal Abdul Rahman bersama pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ATM.

HLC Ke-6 itu menyusuli mesyuarat kelima yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2025, manakala mesyuarat seterusnya dijadual berlangsung di Malaysia pada 2027.

Read Entire Article
Pertanian | | | |