PETALING JAYA – Anak sulung pasangan Beego dan Linda Hashim, Jelita Clarissa menegur sikap bapanya yang didakwa memuat naik video lama menunjukkan imejnya tidak bertudung.
Menjelaskan situasi sebenar, Jelita kini sudah berhijab penuh dan penampilannya juga jauh berbeza berbanding apa yang terakam dalam video perkongsian bapanya.
“Daddy! Jelita tak pakai tudunglah (dalam gambar), kenapa daddy ‘expose’ (dedahkan) sekarang?
“Itukan video dulu,” tulisnya.
Sementara itu, Beego atau nama sebenarnya Aszerul Nizam Abdullah, 45, memohon maaf dan mendakwa video tersebut adalah rakaman baharu.
Dia juga turut mendoakan anaknya agar sentiasa beristiqamah dengan penampilan menutup aurat.
“Maaf, ini video baru juga. Jelita baru saja pakai tudung bukan?
“Jelita pakai tudung dan terus istiqamah okey.
“Semoga Allah lindungi Jelita dengan rahmat-Nya. Sayang awak selalu,” katanya.
Baru-baru ini, Beego memuat naik video meluangkan masa bersama anak-anaknya yang menikmati ais krim.
Menerusi hantaran tersebut, Beego menafikan dakwaan bahawa anak-anaknya berdepan trauma akibat konflik rumah tangga yang berlaku.
“Anak-anak happy saja keluar dengan daddy.
“Tak ada pun trauma,” ujarnya.
Terdahulu, isterinya, Linda Hashim yang juga pelakon memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.
Malah, Linda turut mendakwa tidak pulang ke rumah sejak sembilan bulan lalu kerana takut dikasari selain anak-anak turut dikatakan trauma melihat insiden rumah tangga mereka.
Pasangan ini pernah bercerai talak satu pada 27 Mac 2023 sebelum rujuk semula pada 9 April tahun sama.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – KOSMO! ONLINE