PETALING JAYA – “Segenap rasa dan takdir, kan semuanya dari Illahi.”
Demikian perkongsian adik kepada penyanyi Amira Othman, Irfan Haris seolah-olah memberi bayangan mengenai ketentuan indah dikecapi insan kesayangannya itu.
Lebih membuatkan hantaran berkenaan dipercayai berkaitan kakaknya dengan aktor Fattah Amin apabila turut disertakan foto mereka seisi keluarga bersama lelaki terbabit.
Irfan, 23, menyebut perkara yang dilaluinya kini juga berlaku dengan cepat sehingga seperti sukar untuk dipercayai dirinya sudah dewasa.
Walaupun tidak menyatakan secara langsung hal yang diketengahkan dalam laman TikToknya itu, perkongsiannnya tetap melorongkan pemahaman ramai terhadap hubungan Amira dengan Fattah atau dipanggil Abang Long itu.
“Macam mana semua sepantas ini ya Kak Ya? (Panggilan Amira), kita buat-buat tak faham saja la,” tulisnya.
Walaupun kapsyen merujuk kepada peralihan usia penyanyi terbabit dari kanak-kanak ke dewasa menerusi gambar pertama dia di pangkuan kakaknya, hantarannya tetap mencetuskan tanda tanya.
Ini kerana foto kedua bersama seisi famili turut disertai Fattah yang berbaju rona sedondon merah jambu cair senada dengan Amira menunjukkan seperti dia sudah menjadi sebahagian keluarga terbabit.
Menerusi ruangan komen, ramai netizen menitipkan doa agar pasangan yang dikhabarkan bakal berkahwin Oktober ini dilancarkan urusan.
Pada masa sama ada netizen mendakwa pernikahan kedua-duanya akan berlangsung bulan depan bertepatan hari jadi Fattah namun ditepis pemilik akaun TikTok lain.
“Tarikh 14 September mereka bernikah. Tahniah,” tulis netizen.
“Irfan sebenarnya nak bagitau, tapi bagi bayangan sahaja,” kata pemilik akaun lain.
Terdahulu, heboh mengenai spekulasi pernikahan pasangan terbabit yang didakwa bakal direalisasikan pada Oktober depan tetapi dinafikan kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE