ISKANDAR PUTERI – Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz akui pertembungan menentang Sanfrecce Hiroshima dalam aksi pertama pusingan 16, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok sebagai perlawanan hidup dan mati.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, benteng pertahanan JDT bakal berdepan tugas getir untuk mengekang serangan bertali arus skuad bimbingan Bartosch Gaul yang bermain corak permainan tekanan tinggi.
Katanya, JDT akan terus mengekalkan rentak corak permainan berintensiti tinggi bagi mematikan serangan pasukan lawan dalam masa sama cuba untuk memburu gol awal seperti dilakukan dalam perlawanan terdahulu.
“Bermain di laman sendiri memberi kelebihan buat JDT namun itu tidak bermakna kita tidak diberikan tentangan hebat oleh pasukan lawan. Kita akan berusaha untuk mencari keputusan positif sebagai bekalan untuk ke perlawanan seterusnya.
“Kita akui kualiti yang dimiliki pasukan lawan yang kerap melancar serangan di bahagian sayap selain berbahaya dalam situasi bola mati.
“Jadi, amat penting buat pasukan untuk memastikan gawang tidak dibolosi, statistik juga menunjukkan keampuhan benteng JDT tampak semakin kemas dalam setiap perlawanan,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan ACLE menentang Sanfrecce Hiroshima di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Dalam pertembungan terdahulu, JDT tewas 1-2 kepada Sanfrecce Hiroshima dalam aksi Kumpulan Zon Timur ACLE, pada 10 Februari lalu.
Pada perlawanan itu, Marcos Guilherme membuka jaringan seawal minit ketiga namun nasib tidak menyebalahi JDT apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah Jonathan Silva dilayangkan kad merah pada minit ke-15.
Ditanya mengenai status Jonathan dan Oscar Arribas, Munoz berkata, kedua-dua pemain itu bebas daripada penggantungan dan layak untuk beraksi pada perlawanan itu.
Katanya, semua pemain berada di tahap terbaik dan bersedia diturunkan pada aksi penting bagi memburu kemenangan itu.
“Saya tidak boleh dedahkan siapa pemain yang akan diturunkan nanti, sudah pasti kita akan menurunkan skuad terbaik. Saya cukup bertuah mempunyai pasukan yang besar seperti JDT,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
3








![[VIDEO] ‘Jangan bawa masuk budaya kejut sahur beramai-ramai’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-03-at-10.59.49-AM.jpeg)






![[VIDEO] Iran hanya sasar markas tentera AS di UAE – Irfan Khairi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-02-at-9.58.02-PM.jpeg)

































