STATUS pilihan melibatkan beberapa pemain Malaysia pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis bermula Isnin ini mampu meredakan tekanan dihadapi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Kebiasaannya, gandingan No. 2 dunia itu sentiasa menjadi sandaran Malaysia dalam setiap kejohanan disertai berdasarkan status mereka sebagai juara dunia selain aksi konsisten ditampilkan musim ini.
Bagaimanapun, status pilihan beberapa lagi wakil negara dalam acara beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran mampu mengurangkan tekanan dihadapi Aaron-Wooi Yik, sekali gus bermain lebih tenang.
Pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky berkata, keadaan itu akan memberi kelebihan kepada Aaron-Wooi Yik untuk bermain lebih tenang, seterusnya menghasilkan prestasi lebih baik.
“Saya setuju (kurang tekanan) kerana selama ini kita selalu memberikan tumpuan kepada Aaron-Wooi Yik. Sekarang kita ada Goh Sze Fei-Nur Izzuddin (Rumsani) serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
“Dengan beregu-beregu kita sudah menunjukkan peningkatan, ia memang akan mengurangkan (tekanan) itu. Memang saya setuju dengan apa yang diperkatakan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara malam kelmarin.
Selain Aaron-Wooi Yik, Sze Fei-Izzuddin dan Wei Chong-Kai Wun, beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah serta dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai turut berada dalam kelompok pilihan 10 teratas.
Pada masa sama, Rexy turut optimis Malaysia mampu untuk membawa pulang pingat kilauan pingat daripada kejohanan tersebut, namun enggan meletakkan tekanan ke atas para pemain negara.
“Siapa sahaja yang bermain di Kejohanan Dunia pastinya mahukan gelaran juara tetapi jika kita mara ke separuh akhir, itu sudah membolehkan kita dapat pingat. Bagaimanapun, kita beri ruang kepada pemain untuk bermain seperti biasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE