57,910 murid dikenal pasti sebagai pembawa talasemia

18 hours ago 9

KUALA LUMPUR – Seramai 57,910 daripada 2.12 juta murid sekolah yang menjalani saringan di seluruh negara dikenal pasti sebagai pembawa talasemia.

Menteri Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, prevalens pembawa talasemia di seluruh negara adalah pada paras matriks 59.1 per 1,000 murid disaring.

“Prevalens (jumlah bilangan individu berpenyakit pada sesuatu masa dan kawasan) pembawa talasemia tertinggi direkodkan dalam kalangan masyarakat Melayu, diikuti Kadazan, Dusun dan Cina,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai status program saringan talasemia.

Terdahulu, Dr. Dzulkefly berkata, berdasarkan data rasmi ‘Annual Report of the Malaysia Thalassemia Registry 2023’ diterbitkan pada tahun 2025, terdapat 9,554 pesakit talasemia direkodkan di Malaysia.

Menurut beliau, data itu diperoleh daripada 102 buah hospital KKM serta dua hospital universiti yang terlibat dalam penyampaian perkhidmatan kepada pesakit talasemia.

Jelas beliau, talasemia adalah penyakit genetik yang berlaku akibat gangguan penghasilan hemoglobin dalam sel darah merah yang menyebabkan anemia dengan tahap keterukan berbeza.

Kata beliau, anggaran kos sepanjang hayat bagi setiap pesakit talasemia yang bergantung kepada pemindahan darah bermula dari usia kanak-kanak hingga 40 tahun sebanyak AS$606,665 (hampir RM3 juta) bagi setiap pesakit.

Jelasnya, jumlah itu merangkumi kos penjagaan kesihatan iaitu 92.5 peratus dan biaya perbelanjaan penjagaan kesihatan ditanggung pesakit dan keluarga pula sebanyak 7.5 peratus.

Sementara itu, katanya, dua kaedah utama sedang diguna pakai di peringkat antarabangsa adalah Penambahan Gen menggunakan lentivirus serta Pengeditan Gen yang memanfaatkan teknologi mutakhir CRISPR-Cas9.

“Kos bagi satu rawatan amat tinggi dengan nilai pasaran global mencecah antara AS$2.2 juta hingga AS$2.8 juta (kira-kira RM10 juta hingga RM13 juta) setiap pesakit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |