GUA MUSANG – Selepas 55 kilometer (km) mengejar, polis berjaya menahan pemandu sebuah kereta yang bertindak merempuh kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) yang menjalankan sekatan di Felda Chiku 3 di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.22 petang itu, suspek yang memandu kereta jenis Proton Preve didapati membawa dadah jenis syabu seberat 1.47 gram dan 33 biji pil kuda semasa ditahan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, anggota Ronda Cegah Jenayah menerima panggilan dari Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang mengenai kejadian anggota MPV mengejar sebuah kereta jenis Proton Preve.
Menurutnya, anggota polis terlibat cuba menyekat kereta tersebut semasa tiba di Kilometer 42, Felda Chiku di sini.
“Sekatan dijalankan dengan meletakkan kenderaan MPV di tengah jalan dan dua anggota polis bersiap sedia. Kereta yang dipandu suspek dalam keadaan laju dan berbahaya cuba merempuh anggota polis.
“Atas faktor ancaman, anggota polis melepaskan satu das tembakan pada bahagian tayar belakang kereta itu, namun tidak mengenai sasaran,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Choon Foo memberitahu, suspek dapat melepaskan diri daripada sekatan sebelum anggota polis mengejar kereta itu sejauh hampir 55 km sehingga berjaya ditahan.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam kereta dipandu suspek menjumpai dadah jenis syabu seberat anggaran 1.47 gram dan 33 biji pil kuda.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, tular di media sosial video yang dirakamkan oleh orang awam mengenai kejadian MPV polis mengejar sebuah kereta di Felda Chiku 3 di sini hari ini.
Lebih mengejutkan, anggota polis yang terlibat dilihat melepaskan tembakan dan kereta dipandu suspek turut dilihat merempuh MPV sebelum memecut laju. – KOSMO! ONLINE