WALAUPUN kebanyakan negara hanya membenarkan perkahwinan monogami dan poligami tetapi terdapat budaya di beberapa tempat yang membenarkan poliandri (membolehkan seorang wanita berkahwin lebih daripada seorang lelaki). Poliandri merupakan sejenis poligami iaitu seorang wanita mempunyai dua atau lebih suami pada masa sama.
Adalah menjadi perkara biasa bagi lelaki untuk mempunyai lebih daripada seorang isteri dan perkara ini disokong oleh budaya serta agama di seluruh dunia. Bagaimanapun apabila mendengar seorang wanita mengahwini lebih daripada seorang suami, ia kedengaran luar biasa.
Sehubungan itu, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima negara yang mengamalkan poliandri seperti dilaporkan oleh The Nation.
1- India

POLIANDRI diamalkan oleh kaum Pahari di wilayah Jaunsarbawar di India Utara dan sebilangan kecil penduduk di Kinnaur serta Himachal yang membenarkan dan mengamalkan perkahwinan jenis ini.
Sebagai keturunan Pandawa Pachi (lima beradik yang merupakan suami kepada seorang wanita bernama Draupadi iaitu anak perempuan Raja Panchala), mereka percaya bahawa mereka perlu meneruskan tradisi itu. Poliandri juga diamalkan oleh suku Toda di Nilgiris, Najanad Vellala di Travancore dan beberapa sistem kasta Nair di India Selatan.
2- China

AMALAN poliandri persaudaraan adalah perkara biasa dalam kalangan penduduk Tibet di bahagian utara China dan India. Ia berdasarkan kepercayaan bahawa seorang anak boleh memiliki lebih daripada seorang bapa dan biasanya apabila dua atau lebih saudara lelaki berkahwin dengan seorang wanita. Mereka semua mempunyai akses seksual yang sama kepadanya.
Amalan ini digalakkan jika keluarga miskin dan tidak boleh membahagikan harta kepada anak-anak yang lain. Oleh itu, keluarga tersebut dapat mengekalkan tanah ladang dan harta benda mereka bersama-sama dengan mengahwini wanita yang sama.
Pada tahun 1988, Universiti Tibet menjalankan tinjauan terhadap 753 keluarga Tibet dan mendapati bahawa 13 peratus mengamalkan poliandri.
3- Kenya

WALAUPUN poliandri tidak dilarang secara eksplisit di bawah undang-undang di Kenya, ia adalah amalan biasa. Perkahwinan poliandri pertama kali dilaporkan di Kenya pada tahun 2013 apabila dua lelaki memutuskan untuk berkahwin dengan seorang wanita yang mereka berdua sukai.
Pengantin perempuan tidak dapat memutuskan lelaki yang dia mahu, jadi dia ada alasan yang baik untuk berkahwin dengan mereka berdua. Sehubungan itu, pada pada Ogos 2013, dua lelaki Kenya menandatangani perjanjian untuk mengahwini wanita itu yang mereka berdua jalin hubungan cinta. Selain itu, perkahwinan poliandri juga dilaporkan berlaku dalam kalangan orang Massai di Kenya.
4- Nepal

SETERUSNYA, Nepal yang merupakan sebuah negara Asia Selatan turut mengamalkan perkahwinan poliandri. Terletak di Himalaya, ia juga meliputi sebahagian Dataran Indo-Gangetik.
Poliandri telah dilarang secara rasmi di Nepal sejak tahun 1963 tetapi masyarakat di wilayah Humla, Dolpavdan Kosi lebih menghargai tradisi mereka daripada undang-undang. Terdapat seluruh kampung keluarga poliandrous di situ.
Perkahwinan jenis ini juga biasa dalam kalangan puak di utara dan timur laut Nepal termasuk Bhote, Sherpa, Newbie dan
lain-lain.
5- Gabon
Wanita dengan tujuh suami.PADA Mei 2021, seorang wanita Gabon mempamerkan tujuh suaminya dan menjelaskan bagaimana dia berjaya tinggal bersama mereka tanpa masalah.
Di Gabon, kedua-dua jantina lelaki dan wanita dibenarkan secara sah di bawah undang-undang negara itu untuk mempunyai berbilang pasangan (poligami atau poliandri) tetapi dalam praktiknya, hanya lelaki yang melaksanakan hak ini.
Walaupun undang-undang sivil membenarkannya dan beberapa amalan adat wujud, norma masyarakat dan tafsiran undang-undang sangat memihak kepada hak lelaki untuk poligami (lelaki yang mempunyai ramai isteri), manakala wanita sering tidak dapat memulakan perkahwinan berbilang atau mempunyai ramai suami.

2 hours ago
1

















































