DALAM mencari pekerjaan, antara perkara dipertimbangkan adalah kesimbangan antara kerja dan kehidupan selain bayaran gaji lumayan kerana perkara ini amat penting untuk mengecapi kebahagiaan sebagai seorang manusia. Apatah lagi, masyarakat masa kini sudah mula sedar mengenai penjagaan kesihatan mental ekoran kehidupan semakin mencabar, malah tekanan di tempat kerja menjadi salah satu faktor pencetus masalah mental.
Sehubungan itu, keseimbangan kerja dan kehidupan sangat penting dalam kehidupan kita agar sentiasa seronok bekerja, membahagiakan diri dan orang tersayang. Minggu ini CitaRasa kongsi lima negara dengan skor indeks keseimbangan kerja dan kehidupan terbaik meliputi jumlah jam kerja, cuti, gaji minimum yang tinggi dan sebagainya seperti dilaporkan oleh Langham Estate.
1- New Zealand
DENGAN skor indeks keseimbangan kerja-kehidupan 86.67/100, New Zealand berada di tangga pertama dan dijuluki sebagai the global leader in work-life balance. Di New Zealand, kerajaan dan majikan sepakat bahawa kerja hanyalah satu aspek kehidupan. Menjadi tradisi masyarakatnya untuk mengutamakan masa bersama keluarga dan keluar melakukan aktiviti outdoor. Pekerja diberi empat minggu cuti bergaji selepas menyempurnakan 12 bulan bekerja. Kadar gaji minimumnya tinggi iaitu RM114 sejam.
Pekerja diberi 32 hari cuti tahunan berkanun (statutory annual leaves). Cuti ibu bersalin pula 26 minggu dengan government-funded pay. Pekerja boleh bekerja secara fleksibel dan turut digalak bekerja remote dengan majikan luar negara dengan memudahkan urusan visa lawatan.
2- Ireland

KEDUDUKAN kedua ialah Ireland dengan skor keseimbangan 81.17/100. Tenaga kerja semasa untuk 2025 di negara ini adalah sebanyak 2.78 juta pekerja mencakupi 77.2 peratus daripada populasi umur bekerja. Gaji minimum di negara ini adalah sebanyak RM66 sejam.
Dengan skor indeks imbangan kerja hidup yang mengagumkan, negara ini menawarkan pekerja cuti tahunan berkanun selama 20 hari yang membolehkan banyak aktiviti dilakukan.
Purata minggu kerja di negara ini juga lebih pendek iaitu sekitar 32.70 jam. Selain itu, penjagaan kesihatan pekerja di Ireland dibiayai oleh dana awam.
3- Belgium
SETERUSNYA, di tangga ketiga negara adalah Belgium dengan skor sebanyak 75.61/100. Pertumbuhan tenaga kerja semasa pada 2025 ialah sebanyak 5.21 juta pekerja (69 peratus daripada jumlah populasi umur bekerja).
Pekerja di negara ini menerima cuti tahunan berkanun sekurang-kurangnya 20 hari dengan gaji minimum RM62 sejam, manakala penjagaan kesihatan dibiayai dana awam.
Purata jam bekerja mingguannya lebih pendek iaitu 34.1 jam.
Bahkan, Belgium menjadi negara pertama di Eropah yang memperkenalkan kerja empat hari seminggu pada tahun 2022.
4- Jerman
DI tangga keempat adalah Jerman dengan skor sebanyak 74.65/100 dan pertumbuhan tenaga kerja pada tahun 2025 sebanyak 45.9 juta orang mencakupi 78 peratus daripada populasi umur bekerja.
Cuti tahunan berkanun di negara ini adalah 20 hari dengan gaji minimum RM62 sejam iaitu kenaikan 3.3 peratus daripada kadar gaji pada 2024. Sistem penjagaan kesihatan pula dibiayai dana awam.
Purata minggu bekerjanya ialah 34 jam. Undang-undang buruh yang ketat mengehadkan kerja lebih masa dan menggalakkan budaya mementingkan kecekapan sepanjang masa.
5- Norway
BERADA di senarai kelima ialah Norway yang menetapkan minggu bekerja singkat dengan kualiti hidup yang tinggi dengan skor keseimbangan kerja-kehidupan 74.20/100.
Tenaga kerja semasa pada 2025 ialah 2.92 juta. Negara Eropah ini menekankan keseimbangan kerja dan kehidupan dengan jumlah jam bekerja hanya 27.1 jam seminggu iaitu kedua terpendek di dunia berdasarkan satu laporan.
Pekerja diberikan 25 hari cuti bergaji dalam setahun. Ia juga mempunyai konsep ‘friluftsliv’ yang menggalakkan kehidupan luar dan hubungan mendalam dengan alam semula jadi.
Sistem penjagaan kesihatan juga dibiayai dana awam.