32 kenderaan import bernilai RM8.45 juta dirampas

3 hours ago 1

PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 32 unit kenderaan import pelbagai jenis bernilai lebih RM8.45 juta selepas disyaki melanggar syarat gudang berlesen dalam operasi di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, semua kenderaan itu ditemui di dua gudang berlesen milik syarikat pengimport di Jalan Pahang, Setapak dan Sungai Penchala, Damansara hasil Ops Purple antara 29 Julai hingga 7 Ogos lalu.

Beliau berkata, siasatan mendapati pemilik gudang gagal mematuhi Seksyen 65(2) dan 65(5) Akta Kastam 1967 apabila menyimpan kenderaan tersebut melebihi tempoh 48 bulan.

“Pemeriksaan menemukan 32 unit kenderaan import yang disyaki tidak berkastam dengan nilai rampasan RM3.07 juta manakala anggaran duti dan cukai berjumlah RM5.37 juta.

“Siasatan mendapati sindiket itu dipercayai menyalahgunakan pengecualian duti di bawah Seksyen 4 akta sama untuk menyimpan kenderaan tanpa melunaskan cukai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga 20 kali nilai barang atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu katanya, JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 353 kes rampasan bernilai RM72.12 juta dari Januari hingga Ogos tahun ini membabitkan komoditi seperti rokok, minuman keras, besi import, dadah, dron dan mercun.

“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |