KUALA LUMPUR – Yakin Splendour Global Holdings Berhad mengambil inisiatif dengan melancarkan ‘DUTA YAKIN’ bagi mempromosikan kesedaran mengenai sel stem.
Melalui inisiatif tersebut, empat penyampai berita iaitu Jiang Han, Lim She Ting, Tan Ley Teng, dan Marsila Hassan telah meminjamkan suara mereka untuk kempen di seluruh negara yang boleh mengubah cara rakyat Malaysia berfikir setiap hari tentang kesihatan.
Mereka adalah sebahagian daripada DUTA YAKIN, satu inisiatif baharu yang dilancarkan oleh Yakin Splendour Global Holdings Berhad, cabang jenama strategik Yakin Medic Sdn. Bhd., yang merupakan penyedia terapi regeneratif dan sel stem di Malaysia
Lebih daripada sekadar kempen kesihatan, ia adalah misi peribadi untuk menjadikan rawatan canggih lebih berkaitan dan menunjukkan bahawa individu dari semua lapisan masyarakat boleh mendapat manfaat daripadanya.
Kempen itu, dengan slogan ‘YAKIN Stem Cell Technology Now Within Your Reach’, memperjuangkan masa depan di mana rawatan terobosan boleh diakses, boleh dikaitkan dan dipercayai dan membawa harapan lebih dekat kepada semua rakyat Malaysia.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, kempen ini menjadikan teknologi rawatan sel stem lebih dekat, mudah diakses dan relevan untuk rakyat Malaysia.
“Usaha ini bukan sahaja memberi harapan, malah mengharumkan nama Malaysia dalam pelancongan perubatan.
“Saya bangga melihat syarikat tempatan seperti Yakin Splendour aktif mentransformasikan penjagaan kesihatan negara, selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 serta agenda STI negara,” katanya ketika hadir menyaksikan majlis menandatangani DUTA YAKIN.
Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Yakin, Patrick Tan berkata, visi di sebalik DUTA YAKIN adalah untuk merapatkan jurang antara sains dan masyarakat.
“Inisiatif ini bukan hanya mengenai penglibatan awam, ia mengenai mencetuskan perbualan yang bermakna, mengurangkan salah tanggapan dan memberi inspirasi kepada individu untuk menjamin kesihatan mereka melalui penyelesaian perubatan yang inovatif dan berkesan.
“Pada dasarnya, ini adalah mengenai kepercayaan, harapan dan peluang kedua.
“Kami menghimpunkan tokoh masyarakat yang dihormati dan dikenali rakyat Malaysia untuk membantu merapatkan jurang antara sains dan masyarakat,” jelasnya.
Ditubuhkan pada 2014, Yakin Medic telah membina reputasinya sebagai peneraju dalam terapi selular.
Syarikat itu juga merupakan pemain utama dalam sektor pelancongan perubatan Malaysia yang sedang berkembang, menarik minat serantau untuk inovasi dan kepakaran klinikalnya.
Pada September tahun lalu, Yakin Medic telah menandatangani perjanjian kerjasama teknikal dan strategik bersama syarikat IASO Biotherapeutics dari China, melibatkan penerokaan potensi teknologi sel CAR-T yang telah diperkenalkan di pasaran.
Menerusi kerjasama ini, Reindeer menumpukan kepakaran dalam penyediaan teknologi, manakala Yakin bertanggungjawab dalam aspek pembangunan.
Gabungan teknologi aplikasi regeneratif sel dengan teknologi resonan iTeraCare membuka peluang sinergi dua hala yang menggabungkan kelebihan dan kepakaran kedua-dua pihak.
Usaha ini bertujuan memperkukuh kemajuan sektor bioteknologi Malaysia di pasaran antarabangsa.
Patrick berkata, misi itu melangkaui perniagaan.
Menurutnya, kemasukannya ke dalam bidang itu dicetuskan oleh ketertarikan dengan cara tubuh manusia membaiki dirinya sendiri, tarikan yang berubah secara dramatik apabila beliau mengalami luka melecur tahap ketiga dalam kemalangan.
Apa yang menarik, terapi berkenaan yang proses penyelidikan dan pembangunannya turut dibantu beliau kemudian membantunya dalam pemulihan dirinya sendiri.
“Saya percaya pada sains, tetapi saya tidak pernah membayangkan saya sendiri akan menjadi pesakit.
“Pengalaman itu mengubah segala-galanya, ia menjadi peribadi.”
“Melalui penyelidikan lanjut, kami mendapati sel stem menawarkan penyelesaian yang berkuasa untuk isu kesihatan yang meluas,” katanya.
Tambahnya, ia satu perkara yang perlu dipercayai dalam sains.
Kerja Yakin Medic berkembang daripada unit pengumpulan data klinikal yang kecil menjadi pakar kesihatan regeneratif sepenuhnya apabila pasukan itu mula melihat peningkatan yang membimbangkan dalam penyakit gaya hidup seperti diabetes dan penyakit kardiovaskular.
Melalui penyelidikan yang lebih mendalam, mereka mendapati bahawa terapi sel stem memegang janji sebenar untuk memanjangkan hayat dan meningkatkan kualitinya.
Sementara itu, SceneFis Aesthetic, sebuah pusat kecantikan terkemuka dan salah satu rakan pengedar Yakin Splendour Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat bagi Yakin Splendour Global Holding Berhad, telah melabur lebih RM400,000 dalam kerjasama strategik bersama syarikat tersebut.
Yakin turut mengalu-alukan lebih ramai penggiat industri kecantikan dan estetik seperti SceneFis Aesthetic untuk berbincang dan menjalinkan kerjasama, bersama-sama mencipta era baharu kecantikan dan kesihatan.
Kini, dengan DUTA YAKIN, Yakin Splendour mengambil langkah seterusnya membawa ubat regeneratif keluar dari makmal dan ke ruang awam.
Patrick berkata, mereka sedang berusaha untuk mengurangkan kos terapi regeneratif.
Terangnya, rawatan sel stem tidak murah, tetapi kami berharap untuk menjadikannya lebih berpatutan dalam tempoh dua tahun akan datang dengan kemajuan seperti pengeluaran besar-besaran berasaskan bioreaktor.
“Namun, ini adalah bidang yang tidak boleh tergesa-gesa, keselamatan, sains dan standard mesti sentiasa diutamakan.
“Sains sebenar memerlukan kesabaran, ujian klinikal, piawaian global, kualiti yang konsisten dan semua perkara itu kerana nyawa dipertaruhkan,” katanya.
Dalam beberapa bulan akan datang, duta selebriti akan berkongsi kisah mereka, melibatkan diri dengan komuniti tempatan, mengambil bahagian dalam program yang disusun dan membantu memudahkan pengetahuan sains di sebalik terapi sel stem.
Inisiatif ini bertujuan untuk menimbulkan rasa ingin tahu dan memberikan maklumat yang boleh dipercayai dan boleh diakses tentang bidang rawatan yang walaupun menjanjikan hasil, masih disalahertikan secara meluas.
Pengarah Yakin Splendour Global Holdings Bhd., Datuk Steven Lai berkata, ini bukan sekadar kempen.
Ia adalah gerakan yang semakin melonjak, mendidik, dan menghubungkan.
“Ini tentang menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa ini bukan sains yang tidak mampu dicuba atau elit, ia sesuatu yang nyata, dan ia ada di sini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE