Warga emas makan malam dengan ahli keluarga ghaib

10 hours ago 5

PETALING JAYA – Seorang lelaki warga emas dilihat menjamu selera seorang diri sambil berbual dengan kerusi-kerusi kosong di sekelilingnya, seolah-olah sedang menikmati makan malam bersama ahli keluarga di sebuah restoran.

Menurut pendedahan seorang pengguna Facebook menerusi kumpulan Pakar Diari Hati, kejadian berlaku sekitar pukul 10.30 malam ketika dia dan keluarganya sedang menjamu selera selepas membeli barangan sekolah anak-anak.

“Sambil tunggu makanan, kami ternampak seorang uncle (pak cik) yang menyusun pinggan, air dan kerusi dengan sangat teratur. Lama-kelamaan, kami rasa pelik kerana dia susun elok-elok lapan set hidangan termasuk lapan teh ais.

“Apabila makanan sampai, dia mula makan bahagian dia, kemudian berbual pula dengan kerusi kosong di sebelah. Saya dan isteri mula sebak tengok dia. Isteri sampai menangis,” katanya.

Kata lelaki itu, suasana turut diselubungi emosi apabila anak-anaknya sendiri menunjukkan reaksi sedih melihat tindakan lelaki tersebut makan sambil seolah-olah berbual dengan keluarga yang tidak kelihatan.

“Kami diberitahu oleh pekerja restoran bahawa pak cik itu datang dua hingga tiga kali seminggu, setiap kali akan pesan makanan untuk lapan orang dan susun semuanya sendiri dengan sangat teratur. Dia juga bayar penuh walaupun makan seorang diri,” ujarnya.

Pekerja restoran turut memaklumkan warga emas itu sangat teliti dan akan menegur jika ada pesanan yang tertinggal walaupun hanya segelas air.

“Dia bukan orang ‘wire shot’. Pakaiannya kemas, siap pakai pelitup muka. Bayar makanan penuh, susun meja rapi. Kita tak tahu sejarah hidup yang dia lalui. Kehilangan insan tersayang bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa simpati dan mendoakan kesejahteraan warga emas itu.

“Mungkin ada sesuatu yang dia terkilan. Kita tak tahu, moga pak cik tu sihat selalu,” komen Wan Nafisah Ghazali.

“Ya, kita mudah berkata hargai, tetapi waktu ada, susah nak hargai. Dah tiada, baru kita sedar apa itu menghargai,” kata Alon Zain. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |