Wanita China marah kru Air Asia tidak bercakap dalam bahasa Mandarin

6 hours ago 5

CHONGQING – Seorang wanita dikeluarkan dari penerbangan AirAsia dalam perjalanan dari Chongqing, China menuju Kuala Lumpur semalam  kerana mencetuskan kekecohan sebelum berlepas, lapor laman berita Mothership.

Video insiden dikongsikan secara dalam talian oleh seorang penumpang lain yang merakam kekecohan itu.

Penerbangan AirAsia D7809 dijadualkan berlepas dari Chongqing sekitar pukul 2.10 pagi (waktu tempatan) seperti dilaporkan laman penjejak penerbangan Flight Radar 24.

Ia akhirnya berlepas pukul 3.47 pagi selepas mengalami kelewatan.

Wanita yang dikeluarkan itu dilaporkan memperkenalkan dirinya sebagai kru syarikat penerbangan China, Southern Airlines, demikian menurut akhbar Sin Chew Daily.

Dia  marah selepas seorang penumpang lain merakamnya sedang bercakap di telefon sebelum penerbangan berlepas.

Wanita itu mahu penumpang tersebut memadamkan klip video itu dan meminta maaf, walaupun dia mengaku bercakap dengan kuat di telefon.

Kata wanita itu, tiada salahnya menggunakan telefon sebelum berlepas.

Dia berkata, “Apa salah saya?”

“Internet secara automatik  terputus apabila pesawat berlepas, dan saya tidak akan dapat membuat panggilan ketika itu. Tetapi dia mengeluarkan telefonnya untuk merakam video saya,” tambah wanita itu.

Penumpang yang merakam video itu pula enggan memadamkannya.

Seorang pramugara kemudian mendekati wanita itu dan bercakap dengannya dalam bahasa Inggeris.

Wanita itu marah semula, kerana dia tidak dapat memahami apa yang disampaikan dan merasakan kakitangan itu sepatutnya bercakap dalam bahasa Mandarin.

Wanita sama  menambah, “Apabila saya cuba berkomunikasi dengannya, dia terus bercakap dengan saya dalam bahasa Inggeris. Saya orang Cina. Mengapa dia sentiasa bercakap dengan saya dalam bahasa Inggeris? Bagaimana seseorang yang bekerja dalam penerbangan antarabangsa tidak boleh bertutur bahasa Mandarin yang paling asas pun? Industri perkhidmatan jenis apa ini?”

Seorang kakitangan lain kemudian mendekati wanita itu dan bercakap dengannya dalam bahasa Mandarin.

Wanita itu kemudian bertanya mengapa dia diminta turun dan menuntut pampasan untuk kerugiannya kerana perjalanannya terganggu.

Kakitangan itu kemudian menjelaskan bahawa dia mengganggu penerbangan, dan penumpang itu menuntut untuk tahu undang-undang apa yang telah dilanggarnya.

Wanita itu terus menuntut penyelesaian sambil enggan turun.

Polis China kemudian dilihat berada di dalam pesawat.

Mereka menggesa wanita itu bertenang dan meminta penumpang lain untuk tidak merakam lagi.

Wanita itu akhirnya dibawa keluar daripada  pesawat.

Sebelum dia pergi, dia meminta penumpang yang merakam insiden itu untuk menghantar rakaman  kepadanya sebagai bukti. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |