Cromok, Barbarik bakal gegar pentas Black On White Jun ini

20 hours ago 9

PETALING JAYA – Dua band rock terkenal Cromok dan Barbarik bakal bergabung dalam konsert Black On White Cromok-Barbarik yang akan berlangsung di IdeaLive Arena, 3 Damansara, pada 27 Jun depan.

Dianjurkan KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik, konsert berkenaan dijangka bakal mencetuskan fenomena kerana sudah lama dinantikan peminat genre rock metal tempatan.

Menurut JoBranko yang juga pemain gitar Barbarik, konsert ini sungguh bermakna bukan sahaja buat peminat tetapi juga ahli band sendiri.

“Ini bukan sekadar konsert biasa kerana menggabungkan dua legasi yang sudah lama berada dalam liga masing-masing. Apabila digabungkan, impaknya pasti berbeza.

“Kami mahu beri pengalaman luar biasa buat peminat agar konsert ini menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan,” katanya.

Tambah Jo, peluang berkongsi pentas dengan Cromok turut membuka ruang kepada persembahan lebih segar termasuk kolaborasi yang tidak pernah dibayangkan peminat sebelum ini.

Sementara itu, Karl Cromok menyifatkan konsert tersebut sebagai evolusi baharu dalam persembahan muzik tempatan, khususnya menerusi penggunaan teknologi digital sepenuhnya.

Menurutnya, Cromok tampil dengan konsep ‘No Noise Digital Stage’ menjadikan mereka satu-satunya kumpulan di Malaysia yang membuat persembahan secara 100 peratus digital tanpa penggunaan dram akustik atau amplifier gitar di atas pentas.

“Hanya satu mikrofon, peranti digital dan sistem in-ear monitors digunakan. Teknologi ini memberi pemantauan audio lebih jelas, meningkatkan mutu persembahan serta menghasilkan bunyi lebih bersih untuk pengalaman penonton yang lebih baik,” ujarnya.

Lebih menarik, peminat bakal disajikan dengan kolaborasi eksklusif antara Cromok dan Barbarik, selain peluang menyaksikan persembahan sulung secara langsung single terbaharu mereka.

Tiket konsert dijual pada harga bermula RM175 bagi CAT 1, RM195 (CAT 2), RM250 (CAT 3), RM350 (CAT 4), RM480 (CAT 5) dan RM998 untuk pakej VIP (CAT 6).

Tiket boleh didapati menerusi dua laman web iaitu MyArteez bagi kategori CAT 1, CAT 2 dan CAT 6, manakala Fantopia pula menawarkan tiket bagi kategori CAT 3, CAT 4 dan  CAT 5.

Konsert Black On White Cromok-Barbarik disokong oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Venture. -. KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |