MELAKA – Seorang pempengaruh terkenal dari Melaka ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang didapati positif dadah, minggu lalu.
Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar berkata, laporan berhubung kejadian telah dibuat oleh pegawai perubatan Hospital Melaka selepas menerima dan merawat mangsa dalam keadaan separuh sedar kira-kira pukul 5 petang pada 14 April.
Katanya, pengadu memaklumkan hasil ujian saringan air kencing mendapati kanak-kanak tersebut positif bahan terlarang jenis Tetrahydrocannabinol (THC).
“Ibu mangsa memaklumkan kepada pegawai perubatan bahawa anaknya sebelum itu diambil dari sebuah rumah pengasuh di Sungai Putat sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Sebelum kejadian, pada 11 April, mangsa turut dilaporkan menerima bantuan pernafasan melalui tiub di Zon Merah Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan pulang ke rumah.
Mengulas lanjut beliau berkata, susulan laporan dibuat, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah Melaka telah menahan suspek yang berusia 39 tahun kira-kira pukul 9.30 malam pada 15 April lalu.
“Suspek merupakan seorang pempengaruh media sosial dan dipercayai mempunyai kaitan dengan penjagaan mangsa melalui ahli keluarganya.
“Bagaimanapun tiada sebarang rampasan dilakukan ketika tangkapan dilakukan dan semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, selain ujian saringan air kencing ke atasnya adalah negatif,” ujarnya.
Dzulkhairi berkata, suspek telah direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 April dan disambung lima hari lagi sehingga 27 April bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ujarnya lagi, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 22 April dan kini menunggu arahan lanjut. – KOSMO! ONLINE

21 hours ago
8










![[VIDEO]’Liza Hanim nak tumpang populariti saya, tak perlu melatah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/ameng-liza.jpg)







![[VIDEO] Burung, anjing ‘iring’ lelaki bawa rezeki setiap pagi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/motosikal-makanan-haiwan.jpeg)




























