Bantuan segera digerakkan untuk mangsa kebakaran Kampung Bahagia

20 hours ago 8

PETALING JAYA – Kerajaan Persekutuan menggerakkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan tersebut meliputi bantuan wang ihsan untuk keluarga dan pelajar sekolah, keperluan asas, tempat perlindungan sementara serta sokongan berterusan dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, usaha juga sedang dipercepat bagi memastikan mereka dapat kembali hidup dalam keadaan yang lebih selamat dan bermaruah, termasuk memastikan anak-anak segera kembali ke sekolah.

“Turun ke Sandakan hari ini untuk menyantuni mangsa kebakaran yang kehilangan segalanya dalam sekelip mata.

“Saya akui, hati ini benar-benar luluh melihat anak-anak kecil yang masih belum mengerti apa yang terjadi, ibu bapa yang menahan tangis dalam diam, dan keluarga yang kini hanya bergantung pada sisa kekuatan yang ada.

“Ini bukan sekadar ujian, tetapi derita yang menyayat hati,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai kehadiran mangsa bukan warganegara dalam insiden berkenaan.

“Saya juga sedar, dalam kalangan mangsa ada yang bukan warganegara. Namun dalam saat getir seperti ini, kemanusiaan tidak boleh disempitkan oleh sempadan.

“Kita bantu setakat yang terdaya meliputi makan, minum, tempat berteduh dan keselamatan,” katanya.

Selain itu, beliau turut memanjatkan doa agar semua mangsa diberi kekuatan menghadapi ujian tersebut.

“Doa saya dan Azizah, serta seluruh keluarga besar Malaysia, bersama mereka.

“Semoga Allah mengangkat kesedihan ini, menguatkan jiwa yang diuji, dan menggantikan duka ini dengan harapan yang baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |